KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan kebangsaan Malaysia, Mohammad Nur Aiman Rosli terpaksa membuat keputusan yang cukup berat apabila melupakan Sukan Asia Hangzhou demi menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.

Aiman berkata, Keputusan terbabit diambil bagi memastikan impiannya menyertai LTdL menjadi kenyataan walaupun dia turut diberi peluang menyertai kontinjen negara ke Hangzhou, beraksi dalam acara berbasikal trek, madison.

“Saya nak masuk LTdL. Sepatutnya saya ke Sukan Asia tetapi saya tolak. Saya sudah pernah menyertai Sukan Asia pada 2018… jadi saya tak nak ke Sukan Asia kerana nak ke LTdL.

“Itu cita-cita saya nak menyertai LTdL… kalau boleh sebelum bersara memang saya nak masuk LTdL.

“Pada 2018 (Sukan Asia Jakarta-Palembang), saya menyertai acara omnium dan kali ini mereka minta saya bertanding dalam acara madison tetapi saya tolak. Saya sanggup pilih LTdL untuk melihat sejauh mana tahap prestasi saya,” katanya.

Selain Nur Aiman, turut menyertai pasukan kebangsaan di bawah kendalian jurulatih Mohd Yusuf Abdul Nasir adalah Muhammad Zawawi Azman, Mohammad Izzat Hilmi Abdul Halil, Zulhelmi Zainal, Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri dan Muhsin Al Redha Misbah.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sandaran diletakkan di bahunya untuk memburu Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia bersama Zawawi, Nur Aiman yang pertama kali menyertai LTdL berkata, dia akan cuba melakukan yang sebaik mungkin bagi membantu pasukan.

“Saya akan buat yang terbaik untuk lapan hari itu (peringkat perlumbaan). Kalau saya rasa peringkat itu penting buat saya, saya akan melakukan ‘break away’, cuba buat yang terbaik,” kata Nur Aiman yang pernah meraih empat gelaran juara di Kejohanan Kebangsaan dalam acara Ujian Masa Individu (ITT).

Mengikut rekod, LTdL 2023 yang berstatus ProSeries akan menyusuri 11 daripada 12 negeri di Semenanjung dengan jarak keseluruhan sejauh 1,278.1 kilometer (km).

– Harian Metro