LANGKAWI: Edisi ke-28 Le Tour de Langkawi (LTdL) kali ini dijangka sedikit berbeza kerana tanpa pendakian di Genting Highlands dan laluan yang kebanyakkan landai sekali gus membuka peluang buat pakar pecut mencuri tumpuan serta berentap sesama sendiri di setiap peringkat.
Berkemungkinan besar juga juara keseluruhan (GC) akan terarah kepada pakar pecut dan tidak lagi terarah kepada pakar pendakian seperti sebelum ini walaupun kali ini terdapat peringkat yang membabitkan Cameron Highlands.
Jika ia terarah kepada pakar pecut, dua nama besar yang sudah pun mencuri tumpuan tahun lalu sekali lagi bakal bersemuka dan mencabar antara satu sama lain, iaitu pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn dan tonggak Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa.
De Kleijn yang terkenal dengan nama gelaran ‘Little Gorilla’ berada dalam situasi terbaik tahun ini walaupun terganggu dengan kecederaan lutut kiri yang memaksa dia berehat selama empat bulan.
Syritsa pula tidak kurang hebatnya tahun ini apabila berjaya menaiki podium sebanyak dua kali di Tour ZLM dan tidak mahu memberi ruang kepada pelumba lain untuk mengejar kehebatannya muncul juara peringkat sebanyak tiga kali.
“Saya kembali menyambung pertarungan dengan Gleb, LTdL adalah ‘medan perang’ terbaik buat pelumba pecut. Saya gembira berada di sini bersama keseluruhan pasukan. Kemenangan yang cukup bermakna di Tour UAE walaupun berehat selama empat bulan akibat kecederaan.
“Bagaimanapun, pada tiga minggu lalu saya kembali berada dalam keadaan terbaik (juara Grand Prix d’Isbergues dan De Fourmies). Saya berada dalam keadaan terbaik seperti permulaan musim sebelum ini. Saya juga akan bersaing dengan rakan senegara, Casper Van Uden (Team dsm-firmenich PostNL). Dia seorang pakar pecut yang laju dan juga mampu mendaki dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Syritsa berjanji akan memenangi perlumbaan sebanyak mungkin dan perlu berhati-hati dengan pelumba lain juga selain De Kleijn.
“Kita akan dapat lihat pertarungan pecut antara pelumba lain seperti Van Uden juga. Apa pun LTdL adalah antara pelumbaan kegemaran saya. Mungkin tidak mustahil untuk memenangi lima perlumbaan di sini walaupun sukar,” katanya.
Selain De Kleijn, Syritsa, Van Uden, pelumba yang sudah beraksi sebanyak empat kali di LTdL, Jakub Mareczko (Team Corratec – Vini Fantini) juga tidak boleh diketepikan selain juara peringkat ketiga tahun lalu, George Jackson yang beraksi bersama Burgos-BH.
– Harian Metro