KUALA LUMPUR: Warga kota dinasihatkan supaya bijak merancang perjalanan berikutan penutupan lebih 29 laluan sekitar ibu negara di sini sempena dua acara antarabangsa dijadualkan berlangsung pada 30 September dan 1 Oktober.

Dua acara berkenaan adalah Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2023 yang dijangka disertai 25,000 peserta dan Le Tour De Langkawi (LTdl) yang akan berakhir di KLCC pada 30 September.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, laluan terbabit akan ditutup bermula jam 12 tengah malam sehingga 11 pagi.

“Bagi KLSCM 2023 pada 30 September sebanyak 12 jalan akan ditutup membabitkan Jalan Raja Dataran Merdeka, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang arah pusat bandar dan Jalan P Ramlee.

“Selain itu, Jalan Kuching menuju bulatan Dato Onn, Jalan Parlimen kedua dua arah, Jalan Kinabalu menuju bulatan Dato Onn, Jalan Cenderawasih ke Jalan Lembah dan bulatan Hishamuddin ke Jalan Raja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada 30 September sembilan laluan akan ditutup sempena LTdl iaitu dari Jalan Jelatek ke Jalan Ampang menuju pusat bandar dan ke arah Jalan Kampung Pandan serta laluan ke arah Pusat Bandar Ampang.

Katanya, pada 1 Oktober 29 laluan akan ditutup, antaranya Jalan Raja Dataran Merdeka, bulatan Dato Onn ke Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) ke Jalan Tun Perak, Jalan Tun Perak ke bulatan Dato Onn, Jalan TAR dan dari Chow Kit ke Dataran Merdeka.

“Turut ditutup, Jalan Raja Laut ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Kuching ke Jalan Sultan Ismail dari arah utara dan selatan, Jalan Sultan Azlan Shah dari arah Sentul ke Jalan TAR – Jalan TAR dari Bulatan Pahang – Jalan Raja Muda Abdul Aziz, dan dari Chow Kit ke Persimpangan Jalan Raja Abdullah.

“Selain itu, Jalan Raja Abdullah kedua – dua hala sehingga ke sepanjang Jalan Sultan Ismail, Jalan P.Ramlee ke Jalan Bukit Bintang, Jalan Raja Chulan ke Jalan Bukit Bintang dari arah Jalan Tun Razak dan Jalan Raja Chulan ke Jalan Bukit Bintang,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta kerjasama orang ramai supaya mematuhi arahan pihak polis bagi memastikan kelancaran trafik dan acara berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Trafik KL di talian 03-20719999 / 03-20719777 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

“Orang ramai juga boleh melayari lama Facebook Polis Kuala Lumpur atau Facebook Trafik Kuala Lumpur untuk maklumat lanjut,” katanya.

– Harian Metro