LTdL 2023 yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi MSN dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) adalah perlumbaan bertaraf ProSeries.

Membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,277.1 kilometer (km), Peringkat 1 LTdL 2023 bakal bermula di Kerteh, Terengganu sebelum berakhir Peringkat 8 di Kuala Lumpur.

Sebanyak 22 pasukan terdiri daripada dua pasukan berstatus WorldTeam; ProTeam (8); UCI Continental (10) dan Continental (2) termasuk skuad kebangsaan Malaysia akan mengambil bahagian pada edisi ke-27 tahun ini.

PERLUMBAAN Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 bermula dari 23 hingga 30 September ini bakal menyaksikan anugerah Most Combative Rider kembali menjadi rebutan setiap pelumba yang bertanding.

Selepas kali terakhir anugerah itu diperkenalkan pada LTdL edisi 2017, status Most Combative Rider sudah pasti mampu menghadirkan persaingan lebih sengit dan kompetitif dalam kalangan pelumba.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, anugerah Most Combative Rider itu ditaja jenama air mineral semula jadi tempatan, Bubbles O2.

“Anugerah Most Combative Rider yang ditentukan oleh sebuah panel juri khas akan diberikan kepada pelumba yang menunjukkan semangat juang tinggi.

“Contohnya, usaha merencana dan melakukan breakaway, tempoh masa berada dalam kelompok depan dan mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dalam membantu rakan-rakan sepasukan.

“Dengan kehadiran Bubbles O2 dalam penajaan anugerah ini, ia bukan sahaja memberi impak positif kepada kualiti LTdL itu sendiri, malah mampu melonjakkan nama Bubbles O2 ke persada sukan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis memperkenalkan Bubbles O2 sebagai rakan penaja rasmi pertama LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil pada Sabtu.

Untuk rekod, pelumba tempatan, Loh Sea Keong pernah diumumkan sebagai pemenang anugerah Most Combative Rider pada Peringkat 2 dan 4 LTdL 2016 serta Peringkat 1 dan 8 LTdL 2017.

– Sinar Harian