KUALA LUMPUR: Pasukan Green Project-Bardiani CSF-Faizane dijangka mampu lebih menyinar dalam jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 berdasarkan kepada reputasi mereka sepanjang musim ini.

Bardiani adalah salah satu daripada tujuh pasukan berstatus ProTeam yang akan beraksi pada edisi ke-27 yang akan berlangsung dari 23 hingga 30 September ini.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2023, Emir Abdul Jalal berkata, enam pasukan ProTeam lain yang akan bersama-sama Bardiani adalah tiga dari Sepanyol yang akan membuat kemunculan kali pertama dalam sejarah LTdL iaitu Caja Rural-Seguros RGA, Equipo Kern Pharma dan Euskaltel-Euskadi selain Human Powered Health dari Amerika Syarikat, Team Corratec-Selle Italia (Itali) dan Tudor Pro Cycling Team (Switzerland).

Emir berkata, tujuh pasukan terpilih kali ini dijangka mampu memberi cabaran sengit kepada semua pasukan lain termasuk tiga pasukan WorldTeam yang akan terpilih berdasarkan kedudukan mereka dalam senarai pungutan mata membabitkan pasukan profesional ketika ini.

“Walaupun berstatus ProTeam, Bardiani kini menduduki tangga ke-23 dunia setakat 11 Julai lalu dengan 2,292.8 mata, turut mendapat undangan wildcard beraksi dalam Giro pada tahun ini.

“Kelibat pelumba mereka kerap dilihat ketika ada kelompok yang aktif membuat ‘breakaway’ dalam Giro serta terbaru kemenangan Peringkat 7 dan jersi kuning pelumbanya dari Eritrea, Henok Mulubrhan di Tour of Qinghai Lake di China selain Enrico Zanoncello (Peringkat 5),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Human Powered Health juga tidak asing dalam LTdL dan pasukan berpangkalan di Minneapolis, Minesota itu pernah muncul dengan nama Kelly Benefits, United Health Care dan Rally Cycling.

“Satu lagi pasukan yang berkayuh dalam Grand Tour ialah Team Corratec-Selle Italia yang bakal muncul buat kali pertama di LTdL tetapi berdasarkan perkembangan semasa, mereka juga wajar diberi perhatian terutama apabila turut menyerlah dalam Tour of Qinghai Lake dengan dua kemenangan peringkat,” tambah Emir.

– Berita Harian