KEJAYAAN Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil meraih tempat keempat pada Peringkat 1 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 pada Sabtu membuktikan pasukan kebangsaan Malaysia bukan sekadar pelengkap.

Malah, barisan enam pelumba negara bimbingan ketua jurulatih, Mohd Yusof Nasir itu memperlihatkan kehadiran mereka pada LTdL kali ini tidak boleh dipandang sepi.

Sebaik berakhirnya Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu dengan jarak laluan sejauh 187.4 kilometer (km) itu, Malaysia muncul sebagai pasukan terbaik keseluruhan dan pasukan terbaik Asia.

Kejayaan yang diraih di bumi Darul Iman itu merupakan satu sejarah buat pasukan kebangsaan Malaysia sepanjang penganjuran LTdL sejak edisi sulung pada 1996.

“Saya harap barisan pelumba negara akan terus mengekalkan momentum positif ini pada perlumbaan akan datang,” kata Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM),” Norazman Abu Samah.

Bagi kedudukan pasukan terbaik keseluruhan, Malaysia mendahului pasukan WorldTour, Astana Qazaqstan Team yang berada di tempat kedua, manakala Green Project Bardiani CSF-Faizane di tempat ketiga.

Bagi kedudukan pasukan terbaik Asia selepas Peringkat 1, Malaysia di tangga teratas diikuti JCL Team Ukyo dari Jepun dan wakil Indonesia, Nusantara Cycling Team.

– Sinar Harian