KUALA TERENGGANU: Kehadiran pelumba pasukan WorldTeam dan ProTeam di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 langsung tidak menghadirkan gerun buat Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil terutama ketika menuju garisan penamat peringkat pertama hari ini.

Pelumba skuad kebangsaan itu hampir untuk menaiki podium ketika perlumbaan berakhir di Dataran Shahbandar hari ini sebelum dia hanya berpuas hati dengan tempat keempat.

Pelumba kelahiran Batu Pahat itu menampilkan persembahan memukau sepanjang perlumbaan dari Kerteh ke Kuala Terengganu terutama pada 200 meter menuju garisan penamat.

Bagaimanapun, henjutan Izzat Hilmi belum cukup untuk mengatasi jaguh pecut pasukan Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn yang menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat hari ini.

Menamatkan saingan di tempat kedua adalah pelumba Human Powered Health, Sasha Weemaes manakala Gleb Syritsa (Astana Qazaqsthan Team) di tempat ketiga.

“Sebenarnya sasaran saya lebih tinggi dalam perlumbaan pembukaan ini kerana kalau boleh saya mahu berada di podium. Pada saingan pada 200 meter terakhir saya sedikit terkeluar lebih awal dan di situ tenaga saya mula berkurangan.

“Mungkin sebab itu saya tidak mampu kekalkan tenaga saya untuk mengejar pelumba hadapan saya. Apapun, saya gembira dengan keputusan hari ini dan mungkin hari ini rezeki saya dapat tempat keempat.

“Apapun, syukur Alhamdulilah keputusan hari ini adalah permulaan terbaik bagi saya dan juga buat pasukan,” katanya

Peringkat kedua perlumbaan esok dijadual berlangsung bermula dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu.

Sebanyak 22 pasukan akan menempuh perlumbaan sejauh 186.2 kilometer membabitkan tiga zon pecutan di Bukit Nenas, Bandar Permaisuri dan Peringat selain dua zon pendakian kategori 4 di Setiu dan Pelong.

– Harian Metro