BALING: Pelumba Bolton Equities Black Spoke, George Jackson menambah koleksi keempat dalam kariernya selepas memenangi perlumbaan Peringkat 3 Le Tour de Langkawi (LTdl) 2023.

Jackson, 23, menawan laluan sejauh 183.1 kilometer (km) dari Jeli ke Baling dengan mengenepikan pesaing dari Green Project-Bardiani CSF-Faizane’, Enrico Zanoncello yang berada di tempat kedua dan tempat ketiga pula diraih Carlos Canal (Euskaltel-Euskadi) pada perlumbaan yang berakhir secara penamat beramai-ramai itu.

Zanoncello begitupun berjaya merampas Jersi Hijau dari pasukan Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn selepas mengumpul catatan masa 12 jam 55 minit 05 saat (s).

Jackson dan Zanoncello kini berkongsi masa keseluruhan manakala pelumba pasukan EF Education-Easy Post, Simon Carr berada di kedudukan ketiga, 0.04s di belakang.

“Saya sudah memberikan kayuhan terbaik. Saya berada di kedudukan terbaik dan sentiasa mengejar pelumba lain di sepanjang perlumbaan,” kata Jackson.

Pelumba dari New Zealand itu sebelum ini pernah menyambar Jersi Kuning di Tour of Taihu Lake 2023 dengan meraih dua kemenangan peringkat pada perlumbaan berstatus ProSeries berkenaan.

“Saya gembira kerana dapat menamatkan perlumbaan ini dengan baik kerana sentiasa yakin kerana kami dapat membentuk persefahaman mantap sejak Tour of Taihu Lake,” katanya.

Dalam pada itu, pelumba skuad kebangsaan, Nur Aiman Muhammad Rosli berjaya merampas Jersi Putih (Terbaik Asia) selepas melintasi garisan di kedudukan keenam hari ini.

Aiman berkongsi masa keseluruhan 12:55.15s bersama pelumba tempat kedua terbaik, Thanakhan Chaiyasombat dari Thailand Cycling Team diikuti Masaki Yamamoto (JCL Team Ukyo).

“Memang tak tahu nak cakap macam mana, ini rezeki saya dan pasukan Malaysia pada LTdL kali ini. Saya buat ini bukan untuk saya seorang tetapi rakyat Malaysia serta seluruh pasukan saya.

“Ia tak dirancang tetapi saya cuba bertahan dan cuba buat terbaik untuk diri saya. Perancangan saya untuk ‘ride for survive’ dan hendak selamatkan diri kerana hari ini perlumbaan laluan berbukit. Jadi saya hanya bertahan dalam peloton,” katanya.

Jersi Jingga selaku Raja Pecut dikekalkan De Kleijn selepas berkongsi 27 mata dengan Zanoncello manakala tempat ketiga, pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa.

Selain itu, peringkat perlumbaan hari ini turut menyaksikan Jersi Polka Dot (Raja Bukit) terus bertukar tangan apabila dirampas pelumba Tudor Pro Cycling Team, Simon Pellaud.

Pellaud kini mendahului kedudukan dengan 20 mata selepas menawan tiga zon pendakian di Jeli, Puncak Titiwangsa dan Seri Banding untuk meninggalkan dua lagi pelumba Green Project-Bardiani CSF-Faizane, Luca Covili (12) dan Mateo Scalco (11), yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

LTdL 2023 dijadual meneruskan kayuhan esok untuk Peringkat 4 dari Bukit Mertajam ke Meru Raya sejauh 140.2km.

– Berita Harian