KUALA LUMPUR: Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 kali ini bakal menggunakan teknologi terkini merangkumi kamera badan yang akan digunapakai komisar dan juga di motosikal mereka.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang bertindak sebagai penganjur edisi 2023, dengan memaklumkan penggunaan teknologi sedemikian bakal membantu dari sudut menganalisa sebarang protes ketika perlumbaan.

“Kamera badan akan merakam apa-apa saja yang berlaku. Sekiranya ada apa-apa protes, kamera badan akan digunakan sebagai bukti untuk menilai apa-apa protes dan sebagainya. Ini salah satu kelebihan penggunaan kamera badan ini.

“LTdL kali ini menggunakan teknologi terkini yang digunakan di perlumbaan jelajah yang lain. Jadi kita cuba dengan bantuan rakan-rakan (penaja) kita, kita gunakan teknologi berkenaan,” kata Shapawi dalam sidang media majlis pengumuman penaja LTdL 2023, di sini, hari ini.

Tiga penaja beerkenaan adalah syarikat pembekal pakaian dan barangan rasmi, PACE; TikTok Malaysia (rakan penaja media sosial rasmi) dan Dahua Technology (pembekal peralatan dan perkhidmatan komunikasi rasmi) dengan jumlah tajaan keseluruhan merangkumi lebih RM1 juta ringgit.

Dalam pada itu, Shapawi berkata, lima pasukan bakal hadir lebih awal ke Malaysia untuk membuat penyesuaian dan persediaan awal bagi merangka strategi pasukan menjelang LTdL 2023.

Lima pasukan berkenaan adalah Green Project-Bardiani CSF-Faizane (Itali), Team Corratec-Selle Italia (Itali), Bolton Equities Black Spoke Pro Cycling (New Zealand), Li Ning Star (China) dan KSPO Professional (Korea Selatan).

LTdL 2023 yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi MSN dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1.277.1 kilometer (km).

Peringkat 1 dijadual bermula 23 September ini di Kerteh, Terengganu dan keseluruhan perlumbaan bakal menyelusuri 11 daripada 12 negeri di Semenanjung dengan kemuncak berakhir di Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) pada 30 September.

Sebanyak 22 pasukan mengesahkan penyertaan untuk edisi kali ini, membabitkan dua pasukan WorldTeam, lapan pasukan ProTeam, 11 pasukan Benua dan pasukan kebangsaan Malaysia.

– Berita Harian