KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Operasi Le Tour de Langkawi 2023, Emir Abdul Jalal memberi bayangan perlumbaan berprestij edisi ke-27 dari 23 hingga 30 September ini sudah mempunyai penaja utama namun mengambil pendekatan menghormati indentiti syarikat terkemuka itu.

Emir berkata, penganjur Majlis Sukan Negara (MSN) turut mengesahkan mereka sudah mendapat jaminan penajaan mencukupi supaya pengurusan kali ini dapat dilaksanakan dengan baik.

“Ia sebahagian daripada kontrak (tajaan) dan kita tak boleh mengumumkannya tetapi apa yang saya nak katakan, kita sudah boleh beri jaminan dan bajet kita perlukan juga agak selesa. Secara keseluruhannya, sudah terjamin. Namun saya tak boleh umumkan penaja itu.

“Penaja utama sudah ada iaitu penaja tempatan,” kata Emir selepas sidang media LTdL 2023 di sini, hari ini yang turut disertai Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Pada sidang media itu, Ahmad Shapawi mengumumkan penganjur sudah melengkapkan jumlah pasukan kali ini, menyaksikan penyertaan dua pasukan berstatus WorldTeam, lapan pasukan berstatus ProTeam dan 12 pasukan benua.

Dua pasukan berstatus WorldTeam itu adalah Astana Qazaqstan Team dari Kazakhstan dan EF Education-Easypost (Amerika Syarikat) manakala antara pasukan ProTeam termasuk Caja Rural-Seguros RGA (Sepanyol), Equipo Kern Pharma (Sepanyol) dan Green Project-Bardiani-CSF-Faizane (Itali).

“Turut bersaing lapan pasukan UCI ProTeam, 11 pasukan Continental (benua) termasuk TSG dari Terengganu selain satu pasukan kebangsaan iaitu pasukan lebuh raya berbasikal negara yang melengkapkan 22 pasukan keseluruhan bagi perlumbaan berstatus ProSeries ini.

“Pengesahan jumlah pasukan bertanding ini sekali gus menjamin kualiti perlumbaan bertaraf tinggi untuk LTdL kali ini dan pasukan ternama juga sudah berjanji membawa pelumba terbaik mereka kali ini,” kata Ahmad Shapawi.

LTdL 2023 menyaksikan lapan peringkat perlumbaan yang menyelusuri beberapa buah negeri di Semenanjung termasuk Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Secara keseluruhan, edisi kali ini menyaksikan jarak keseluruhan kayuhan sejauh 1,280 kilometer.

– Berita Harian