SEREMBAN: Pelumba Human Powered Health, Sasha Weemaes menamatkan badi kemenangan musim ini dengan menawan Peringkat 7 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Muar ke Seremban 2, hari ini.

Pakar pecut berusia 25 tahun itu mengakui dirinya bergelut di sepanjang musim ini termasuk isu kesihatan namun kemenangan di LTdL nyata membangkit semangatnya untuk terus berjuang sebelum kemuncak perlumbaan berakhir esok di Menara Berkembar PETRONAS.

Weemaes melengkapkan perlumbaan Peringkat 7 sejauh 123.8 kilometer (km) dengan catatan dua jam 31 minit 45 saat (s) manakala Arvid de Kleijn (Tudor Pro Cycling Team) kedua dan Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team), ketiga.

“Tentunya saya sangat gembira hari ini… saya tidak menyerah kalah. Semuanya berlangsung sempurna, saya berbangga dengan pasukan dan secara keseluruhannya, saya gembira.

“Ia penamat musim yang baik selepas beraksi buruk sepanjang tahun, banyak berkaitan masalah kesihatan saya hadapi, kemenangan ini sangat bermakna buat saya dan juga pasukan,” kata Weemaes yang baharu setahun menyertai pasukan.

Untuk rekod, Weemaes meraih penamat tempat kedua pada Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu pada Sabtu lalu dan juga ketiga di Peringkat 2 dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu.

Dalam pada itu, pelumba EF Education-Easypost, Simon Carr masih mengekalkan Jersi Hijau (Pendahulu Keseluruhan) dengan catatan masa 26:05.14s, diikuti rakan sepasukan, Jefferson Alexander Cepeda (+49s) manakala Pablo Castrillo dari Equipo Kern Pharma di kedudukan ketiga (+58s).

Jersi Jingga selaku Raja Pecut masih dipegang De Kleijn dengan mengumpul 63 mata diikuti Weemaes 48 mata dan Syritsa ketiga, 43 mata.

Rakan sepasukan De Kleijn, Simon Pellaud turut mempertahankan Jersi Polka Dot bagi Raja Bukit selepas mengumpul 32 mata. Carr berada di kedudukan kedua dengan 32 mata manakala Castrillo ketiga, 13 mata.

Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pula masih disandang pelumba Astana Qazaqstan Team, Vadim Pronskiy dengan catatan masa 26:06.29s, manakala pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaljamts Sainbayar di kedudukan kedua, 26:08.33s. Pelumba Roojai Online Insurance, Ariya Phounsavath pula di kedudukan ketiga, 26:11.18s.

LTdL 2023 bakal menutup tirainya esok dengan Peringkat 8 bermula dari Setia Alam ke Kuala Lumpur sejauh 156.5km, membabitkan tiga zon pecutan di Kapar, Sungai Buloh, Paya Jaras selain dua zon pendakian di Puncak Alam dan Meru.

– Berita Harian