KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Operasi (COO) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, Emir Abdul Jalal mengakui pihak penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) ada perancangan untuk mengembalikan perlumbaan berkenaan ke awal kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

LTdL yang mula dianjurkan pada 1996 secara tradisi berlangsung dalam Februari ataupun Mac namun terdapat perubahan pada musim lalu, menyaksikan perlumbaan diubah ke hujung kalendar iaitu pada Oktober.

“Setakat ini, saya boleh katakan kita masih lagi terpaksa berada di kalendar bulan Septembeer ataupun Oktober kerana kalau kita nak ubah pada jadual awal iaitu Februari ataupun Mac, kita kena daftar pada Jun.

“Kita baharu sahaja dua bulan menyelaras (LTdL)… jadi tak sempat. Oleh itu, kalau ada cadangan nak tukar kembali tarikh kepada jadual asal Februari ataupun Mac, ia hanya boleh dibuat pada 2025 ke atas,” kata Emir.

LTdL 2023 yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1.277.1 kilometer (km).

Peringkat 1 dijadual bermula 23 September ini di Kerteh, Terengganu dan keseluruhan perlumbaan bakal menyelusuri 11 daripada 12 negeri di Semenanjung dengan kemuncak berakhir di Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) pada 30 September.

Sebanyak 22 pasukan mengesahkan penyertaan untuk edisi kali ini, membabitkan dua pasukan WorldTeam, lapan pasukan ProTeam, 11 pasukan Benua dan pasukan kebangsaan Malaysia.

Dalam pada itu, Emir menjelaskan pertukaran kembali jadual LTdL di awal kalendar bakal memberi impak lebih positif terutama dari sudut penyertaan selain keadaan cuaca yang lebih baik berbanding Oktober.

“Kalau awal, pasukan masih segar. Mereka boleh jadikan LTdL untuk menguji pelumba mereka sebelum permulaan awal perlumbaan jelajah dunia… sebagai persiapan mereka. Kalau di akhir-akhir (kalendar), (mungkin) ada pasukan yang sudah pun menjamin kedudukan jadi nak datang ataupun tidak, itu tak menjadi isu bagi mereka.

“Jadi kalau diikutkan, baik berada di awal (kalendar) dan daripada pandangan saya, cuaca pun memainkan peranan. Pada Februari atau Mac, cuaca agak stabil berbanding September atau Oktober,” kata Emir.

– Berita Harian