PELUMBA muda pasukan kebangsaan Malaysia, Muhammad Nur Aiman Rosli mencipta sensasi apabila menyambar Jersi Putih (Pelumba Terbaik Asia) pada Peringkat 3 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 sebentar tadi.

Tampil kali pertama menyarung jersi pasukan kebangsaan Malaysia di pentas LTdL, Nur Aiman merampas jersi tersebut daripada pelumba Roojai Online Insurance, Tegshbayar Batsaikhan dari Mongolia.

Bagi Nur Aiman, dia sendiri bagaikan tidak menyangka dapat memegang status sebagai pelumba terbaik Asia selepas dimaklumkan ketua jurulatihnya, Mohd Yusof Nasir sebaik tamat perlumbaan.

“Alhamdulillah rezeki saya hari ini dapat menang jersi untuk LTdL kali ini. Sebenarnya saya memang tidak meletakkan sasaran untuk memenangi sebarang jersi.

“Ikut perancangan awal, saya hanya mahu menempatkan diri dalam peloton (kelompok pelumba) sebab laluan hari ini agak mencabar kerana laluan berbukit.

Pada perlumbaan sejauh 183.1 kilometer dari Jeli, Kelantan ke Baling, Kedah itu, Nur Aiman yang sebelum ini mewakili Sapura Cycling Team (TSC) berjaya menduduki tempat keenam.

Ia satu keputusan yang cukup baik buat pelumba berusia 24 tahun itu biarpun dianggap masih ‘mentah’ dalam perlumbaan berstatus ProSeries itu.

Sementara itu, ketua jurulatih Malaysia, Mohd Yusoff Nasir berkata, beliau turut terkejut apabila mengetahui Nur Aiman berjaya menyarung Jersi Putih.

“Sudah pasti apa yang dicapai (Nur) Aiman hari ini mengejutkan kerana sebenarnya kita tak letak harapan begitu tinggi dalam perebutan Jersi Putih ini.

“Jadi bila sudah dapat memegang Jersi Putih, saya harap kita dapat untuk terus mengekalkan Jersi Putih ini pada perlumbaan akan datang,” jelasnya.

– Sinar Harian