KUALA TERENGGANU: Walaupun perlumbaan cabaran mendaki Genting Highlands akan bermula di peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 namun pelumba daripada 22 pasukan bakal merasai ‘kepayahan’ sebaik di tiga peringkat awal.

Laluan di persisiran pantai pada peringkat pertama dan kedua bakal menghadirkan cabaran awal buat 132 pelumba, sebelum mereka melalui pendakian mencabar kategori satu di Puncak Titiwangsa pada peringkat ketiga.

Menurut bekas pelumba lebuh raya kebangsaan, Musairi Musa, kesemua pasukan harus mengatur strategi dengan baik untuk tiga peringkat awal ini sebelum berdepan pendakian mencabar di Genting Highlands.

“Laluan peringkat pertama (Kerteh ke Kuala Terengganu) dan kedua (Kuala Terengganu ke Kota Bharu) mencabar dari segi tiupan angin, ia bergantung juga pada cuaca sekarang. Ia mengambil kira sama ada ‘side wind’ ataupun dari belakang. Pelumba perlu berhati-hati,” katanya kepada Arena Metro.

Ujar Musairi jika ‘side wind’ kelajuan perlumbaan akan meningkat apabila pelumba profesional akan meningkatkan kelajuan bagi membolehkan kelompok pendesak ‘berselerak’ di belakang.

“Bagi cabaran di Puncak Titiwangsa (peringkat ketiga) mereka harus menguruskan dengan baik pendakian sebelum berdepan pendakian mencabar di Genting Highlands.

“Siapa yang menang pendakian Genting Highland juga tidak boleh berasa selamat jika pelumba tempat kedua, ketiga dan keempat keseluruhan hanya dibezakan dengan beberapa saat. Kalau dibezakan beberapa minit tidak kisah, mungkin boleh berasa selesa,” katanya yang menjadi pelumba Malaysia pertama tiba di Genting Highlands pada LTdL 1999.

Ditanya mengenai kehadiran dua pasukan bertaraf WorldTeam, Astana Qazaqstan dan EF Education-EasyPost mampu menguasai edisi kali ini, Musairi berkata, ia masih belum pasti berdasarkan pelumba yang disenaraikan.

“Bukan mudah untuk WorldTeam menguasai perlumbaan, begitu juga di pendakian Genting Highlands walaupun penamat di 1,625 meter (m) dari aras laut berbanding edisi-edisi sebelum ini 1,800m,” katanya.

Astana dijangka bergantung harap kepada dua pakar pendakian muda, Harold Martin Lopez dan Savelii Laptev, sambil dibantu pelumba berpengalaman Vadim Pronskiy untuk menawan puncak Genting Highlands.

Sementara itu, EF Education-EasyPost mempertaruhkan pakar pendakian, Simon Carr, Jefferson Alexander Cepeda, Odd Christian Eiking, Michael Valgren.

LTdL 2023 bakal membuka saingan dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 187.4 kilometer (km) esok, sebelum peringkat kedua bermula dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu (186.2 km) Ahad ini.

– Harian Metro