KUALA LUMPUR – Tiga bekas pelumba pasukan berstatus WorldTeam akan memperkuatkan cabaran pasukan ProTeam dari Itali, Solution Tech-Vini Fantini sepanjang lapan hari saingan PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTDL) yang akan bermula pada 28 September hingga 5 Oktober depan.
Pernah bergelar Team Corratec dan turut beraksi pada PLTdL2022 lalu, mereka juga bukanlah nama asing dalam perlumbaan di benua Asia dan mengumpul banyak kejayaan, sekali gus menggambarkan isu cuaca panas ekstrem pasti tidak menjadi masalah besar buat pasukan itu.
Mengetuai cabaran Solution Tech ialah tiga pelumba berpengalaman yang pernah berkayuh bersama pasukan WorldTeam iaitu Alexandre Balmer yang pernah membarisi Jayco-AIUla; Matteo Fabbro (Bora-Hansgrohe) dan pakar pecut Dusan Rajovic (Bahrain-Victorious).
Ketua Pegawai Operasi PLTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, gandingan tiga pelumba berpengalaman itu dan dua pelumba asal Corratec yang beraksi di PLTdL22, memberikan keseimbangan buat mereka untuk mencabar sama ada kemenangan peringkat atau jersi hijau individu keseluruhan tajaan PETRONAS.
“Kita sering melihat pasukan berstatus ProTeam dan Continental Team memberi saingan sengit kepada pasukan elit WorldTeam di PLTdL ini dan berdasarkan kekuatan individu, Solution Tech dilihat antara pasukan yang mampu memberi cabaran pada tahun ini.
“Malah, majoriti daripada pelumba yang dihantar adalah mereka yang sering berlumba di benua Asia, malah meraih banyak kejayaan sejak beberapa tahun lalu,” kata Emir dalam satu kenyataan hari ini.
Pelumba yang pasti menarik perhatian adalah pakar pecut kelahiran Serbia berusia 27 tahun, Rajovic yang mengumpul 18 kemenangan profesional, termasuk bergelar Raja Pecut di Tour of Sharjah; Istrian Spring Tour; Tour de Kumano dan Trans-Himalaya Cycling Race pada tahun ini.
Malah Rajovic yang muncul juara kebangsaan Serbia dalam acara ujian masa individu (ITT) turut mengukir 11 kemenangan peringkat sepanjang tahun ini dan dilihat antara pencabar jersi oren Raja Pecut tajaan KBS pada PLTdL25 yang berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober depan.
Dia dijangka akan dibantu rakan senegara, Djordje Djuric, 25, dan pelumba Itali berusia 28, Attilio Viviani yang pernah berkayuh di PLTdL22 lalu apabila peloton menghampiri garisan penamat di enam laluan landai pada PLTdL25 ini.
Tiga pelumba yang akan mencabar kedudukan individu keseluruhan adalah Balmer; Fabbro dan Allesandro Iacchi yang pernah beraksi bersama Corratec pada PLTdL22 lalu.
“Fabbro pernah lima kali berkayuh di Grand Tour manakala Iacchi juga pernah sekali berkayuh di Giro d’Italia. Balmer pula yang dianggap pakar perlumbaan sehari dijangka akan memilih Peringkat 3 dan Peringkat 8 untuk mempamerkan kemahirannya,” kata Emir lagi.
PLTdL25 akan menyusuri semua 12 negeri di Semenanjung Malaysia pada sepanjang lapan peringkat saingan, membabitkan jarak keseluruhan 1,243.5km yang bermula di Pulau Langkawi dan berakhir di hadapan KLCC.
Jelajah berstatus 2.ProSeries dalam kalendar perlumbaan Jelajah Aia UCI itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan sokongan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Ia akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September (peringkat pertama) sejauh 96.5 kilometer (km) diikuti peringkat kedua dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang (170.1km); peringkat ketiga dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan (198.2km); peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman (140.8km); peringkat kelima dari Temerloh ke Bukit Fraser, Pahang (133.7km); peringkat keenam dari Shah Alam, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan (123.4km); peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini, Johor (214.6km); peringkat kelapan dari Tangkak, Johor ke Kuala Lumpur (180.5km) pada 5 Oktober.
SENARAI PELUMBA SOLUTION TECH-VINI FANTINI
- ALEXANDRE BALMER (SUI)
- MATTEO FABBRO (ITA)
- DJORDJE DURIC (SRB)
- DUSAN RAJOVIC (SRB)
- ALESSANDRO IACCHI (ITA)
- ATTILIO VIVIANI (ITA