KUALA LUMPUR – Edisi ke-29 perlumbaan jelajah berbasikal PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL25) yang akan membuka tirai saingan pada 28 September hingga 5 Oktober depan, bakal menampilkan tiga pasukan berstatus WorldTeam (WT) dan lapan pasukan ProTeam (PT).
Melengkapkan senarai 22 pasukan yang bertanding dalam saingan lapan hari itu nanti ialah 10 pasukan berstatus benua (Continental) dan sebuah pasukan kebangsaan iaitu Malaysia
Tiga pasukan WorldTeam yang sudah mengesahkan penyertaan adalah XDS Astana Team dari Kazakhstan, Team Picnic PostNL (Belanda) yang dikenali sebagai DSM-Firmenich PostNL pada musim lalu dan Cofidis (Perancis).
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, tiga pasukan WorldTeam itu menyamai jumlah penyertaan pasukan berstatus elit yang mengambil bahagian dalam LTdL tahun lalu.
Menurutnya, daripada lapan pasukan ProTeam itu pula, enam daripadanya turut berlumba dalam tiga jelajah Grand Tour iaitu Total Energies, Tudor Pro Cycling Team dan Uno-X Mobility (Tour de France); VF Group-Bardiani CSF-Faizane dan Team Polti VisitMalta (Giro d’Italia) serta Burgos-BH (Vuelta a Espana).
Dua pasukan ProTeam lain adalah pasukan muka baharu dari Perancis, Unibet Tietama Rockets dan Team Solution Tech-Vini Fantini (Itali).
“Dengan keseluruhan sembilan pasukan yang beraksi di Grand Tour, kita boleh menjangkakan bentuk saingan yang sengit dan menarik setiap hari, bermula dari Peringkat 1 di Pulau Langkawi hinggalah pengakhiran Peringkat 8 di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC) nanti.
“Walaupun tiada peringkat pendakian berstatus Hors ke Genting Highlands buat kali kedua berturut-turut, Peringkat 3 (Gerik-Pasir Puteh) dan Peringkat 5 (Temerloh-Bukit Fraser) akan menjadi medan penentuan dalam perebutan klasifikasi individu keseluruhan dan jersi Raja Bukit.
“Malah, perebutan itu dijangka akan diheret sehingga ke hari-hari terakhir kerana Peringkat 7 melibatkan kayuhan terpanjang sejauh 214.6km dari Melaka-Medini, selain peringkat terakhir sejauh 180km dari Tangkak ke KLCC,” kata Jefri dalam sidang media pengumuman pasukan dalam PLTdL 2025 hari ini.
Turut menghangatkan saingan lapan hari itu nanti ialah 10 pasukan berstatus benua termasuk dua pasukan tempatan iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC), selain skuad kebangsaan negara.
Tujuh pasukan benua lain memang tidak asing dalam jelajah berstatus ProSeries Asia ini iaitu Nusantara-BYC (Indonesia), HKSI Pro Cycling Team (Hong Kong), Aisan Racing Team (Jepun), KSPO Professional (Korea Selatan), St George Continental Cycling Team (Australia), 7Eleven Cliqq Roadbike (Filipina), Thailand Continental Cycling Team (Thailand) serta pasukan muka baharu, Chengdu DYC Cycling Team (China) yang akan membuat penampilan kali pertama.
“Walaupun setakat ini, setiap pasukan belum memberi senarai penuh enam pelumba yang akan mengibarkan cabaran mereka, kami percaya LTdL25 akan tetap menarik perhatian ramai peminat berbasikal kerana mutu saingannya dianggap sengit, tinggi dan bermutu di pentas Asia.
“Malah penganjur sendiri berdebar-debar untuk melihat senarai akhir pelumba setiap pasukan kerana berdasarkan nama-nama itu nanti, kita boleh meramal strategi dan sasaran setiap pasukan, sama ada mahu mengutip kemenangan peringkat, memburu kedudukan individu keseluruhan, berpasukan keseluruhan, jersi Raja Bukit mahupun jersi Raja Pecut,” kata Jefri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, setakat ini pihak penganjur masih belum mendapat kepastian sama ada Team Picnic PostNL akan menyenaraikan juara keseluruhan musim lalu, Max Poole untuk mempertahankan jersi hijau individu bagi saingan tahun ini.
“Namun, kami percaya saingan kali ini tetap menjadi tumpuan ramai kerana pasukan itu ada menyenaraikan pakar pecut handalannya, Fabio Jakobsen manakala pasukan Uno-X ada menyenaraikan Alexander Kristoff dalam barisan awalnya sementara Tudor pula meletakkan pakar pecut, Alberto Dainese.
“Bagi kami, ini adalah satu penghormatan besar kerana saingan kali ini turut disertai tiga nama besar yang mempunyai koleksi kemenangan dalam jelajah Grand Tour dan pelbagai perlumbaan jelajah Eropah dan klasik sehari, sekaligus mengangkat profil dan imej LTdL itu sendiri,” tambahnya.
Jakobsen, 31, mempunyai koleksi 46 kemenangan dalam kariernya setakat ini, iaitu dua dalam Tour de France (2022) dan lima peringkat di Vuelta (2019-2021), selain menjuarai gelaran Raja Pecut Vuelta pada 2021, serta pelbagai jersi Raja Pecut lain seperti Volta a Algarve, Tour of Hongrie dan Tour of Belgium.
Kristoff pula yang kini berusia 38 tahun dan pernah menyarung jersi pasukan handalan seperti BMC Racing Team, Team Katusha, UAE Team Emirates dan Intermache-Wanty Gobert, mengumpul koleksi kemenangan dalam 4 peringkat Tour de France (2014-2020), selain perlumbaan jelajah dan klasik sehari seperti Milan-San Remo (2014), Gent-Wevelgem (2019), Tour of Flanders (2015), GP Quest France (2015) dan Classica de Almeira (2022).
Bagi pelumba kelahiran Itali, Dainese, 27, pula mengukir dua kemenangan peringkat dalam Giro d’Italia (2022 dan 2023) selain satu peringkat di Vuelta pada 2023 ketika bersama pasukan Sunweb.
Menurut Emir, edisi ke-29 LTdL25 yang merentasi semua 12 negeri di Semenanjung dengan jarak keseluruhan 1,257.8km kali ini tetap berada dalam kategori antara jelajah terunggul di benua Asia berdasarkan jumlah penyertaan pasukan WorldTeam (WT) dan ProTeam (PT).
Sebagai perbandingan, Emir berkata, jelajah bertaraf ProSeries Asia lain seperti Tour of Qinghai Lake pada tahun ini hanya menampilkan satu pasukan WorldTeam dan 8 pasukan ProTeam; Tour of Hainan (1WT/4PT) manakala Tour of Taihu Lake (1WT/2PT).
LTdL25 yang berstatus ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia UCI dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
SENARAI PASUKAN BERTANDING DALAM PETRONAS-LTdL 2025
- XDS Astana Team (Kazakhstan)
- Team Picnic PostNL (Belanda)
- Cofidis (Perancis)
- VF Group-Bardiani CSF-Faizane (Itali)
- Team Polti VisitMalta (Itali)
- Burgos-BH (Sepanyol)
- Unibet Tietema Rockets (Perancis)
- TotalEnergies (Perancis)
- Tudor Pro Cycling Team (Switzerland)
- Uno-X Mobility (Norway)
- Team Solution Tech-Vini Fantini (Itali)
- Terengganu Cycling Team (Malaysia)
- Malaysia Pro Cycling (Malaysia)
- Nusantara-BYC (Indonesia)
- HKSI Pro Cycling (Hong Kong)
- Aisan Racing Team (Jepun)
- KSPO Professional (Korea Selatan)
- Chengdu DYC Cycling Team (China)
- St George Continental Cycling Team (Australia)
- 7Eleven Cliqq Roadbike Philippines (Filipina)
- Thailand Continental Cycling Team (Thailand)
- Pasukan Kebangsaan Malaysia