KUALA LUMPUR: Pasukan produksi televisyen (TVP) kendalian Motoshoot Event Sdn Bhd bersiap siaga dengan kekuatan 78 krew bagi memastikan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini mampu dipaparkan dengan kualiti terbaik kepada penonton dalam dan luar negara.
Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Muhd Opandi Che Wook menegaskan, aspek siaran televisyen adalah elemen nombor satu dalam menjayakan penganjuran acara berstatus pelancongan sukan seperti LTdL kerana ia bukan sekadar memaparkan perlumbaan, malah menjadi medium utama mempromosikan keindahan Malaysia kepada dunia.
“Bagi saya, LTdL adalah pelancongan sukan, sukan nombor dua, pelancongan nombor satu. Inilah alat untuk kita menjual negara, bawa pelancong dan cipta pendapatan. Sebab itu peranan televisyen sangat penting,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut beliau, seramai 36 orang di pusat kawalan (MCR), 27 krew bergerak di laluan perlumbaan, serta 17 krew di garisan penamat yang membabitkan enam kamera.
“Secara keseluruhan kita ada 78 orang krew. Bagi penggambaran di jalan raya, kita guna lapan motosikal termasuk satu sebagai simpanan, empat untuk siaran televisyen dan tiga lagi untuk operasi dron yang memainkan peranan penting merakam keindahan latar Malaysia,” katanya.
Jelasnya, setiap perancangan laluan juga perlu mengambil kira aspek televisyen bagi memastikan imej yang dirakam mampu menyerlahkan tarikan negara di mata dunia.
– Harian Metro
