KUALA LUMPUR: Seramai 78 kru produksi televisyen digerakkan Motoshoot Event Sdn Bhd bagi memastikan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) dapat disiarkan dengan standard penyiaran bertaraf antarabangsa, selaras dengan imej perlumbaan berprestij itu di mata dunia.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Muhd Opandi Che Wook berkata, aspek penyiaran adalah nadi utama dalam menjayakan acara pelancongan sukan seperti LTdL, bukan sekadar untuk paparan perlumbaan, tetapi juga sebagai medium promosi negara yang berkesan.
“Bagi saya, LTdL adalah pelancongan sukan… sukan nombor dua, pelancongan nombor satu. Inilah alat untuk kita ‘menjual’ negara, bawa pelancong dan cipta pendapatan. Sebab itu peranan televisyen sangat penting,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Opandi yang berpengalaman luas dalam perlumbaan ini berkata, produksi kali ini memanfaatkan teknologi penyiaran berasaskan Internet dan Wi-Fi menerusi sistem LiveU, membabitkan 36 kru di pusat kawalan (MCR), 27 kru bergerak sepanjang laluan perlumbaan serta 17 kru di garisan penamat, menggunakan enam kamera dan unit OB.
Bagi rakaman di laluan perlumbaan, lapan motosikal disediakan dengan empat daripadanya bagi siaran langsung dan tiga lagi pengoperasian dron, manakala satu lagi sebagai sokongan.
“Disebabkan kami tidak menggunakan helikopter, dron akan memainkan peranan penting merakam keindahan latar Malaysia,” katanya.
LTdL 2025 bermula di Pulau Langkawi Ahad ini dan berakhir di KLCC pada 5 Oktober dengan membabitkan laluan sejauh 1,244.2 kilometer.
– Berita Harian
