KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar air mineral tempatan, Bubbles O2 menaiktaraf penajaan dalam PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 apabila menjadi penaja rasmi bagi jersi Raja Bukit pada perlumbaan tahun ini.
Selepas dua tahun sebagai penaja rasmi air mineral semulajadi dan Anugerah Pelumba Kombatif di setiap peringkat sebelum ini, Bubbles O2 memeterai langkah lebih megah dengan menaja jersi polka dot hijau bagi klasifikasi Raja Bukit yang sentiasa menjadi tumpuan sepanjang 28 tahun penganjuran PLTdL.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Encik Jefri Ngadirin berkata, pihaknya berbesar hati dengan langkah Bubbles O2 itu dan percaya keputusan berkenaan dibuat atas keyakinan syarikat selepas melihat sendiri pakej pulangan hasil tajaan sejak dua tahun lalu.
“Saya pasti langkah menaiktaraf penajaan ini memerlukan dana yang lebih besar dan dibuat selepas melihat sendiri keberkesanan dan pulangan berganda di atas tajaan mereka.
“PETRONAS-LTdL akan meneruskan kesemua bentuk promosi seperti penyiaran TV antarabangsa di Eurosports, siaran langsung di Astro Arena, Facebook dan YouTube, selain semua program promosi di sepanjang laluan seperti Calvacade bersama Voice of LTdL serta acara-acara sampingan lain.
“Saya yakin Bubbles O2 akan menerima pulangan yang lebih tinggi apabila menjadi antara empat penaja jersi utama di PLTdL 2025 nanti,” kata Jefri pada Majlis Pengumuman Rasmi Penajaan Bubbles O2 di Casa 4, MSN di Bukit Jalil, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Bubbles O2 Tuan Haji Arifin Marzuki; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sukan MSN Sofian Hamzah; Pengarah Bahagian Pengurusan Acara MSN, Mohd Safrushahar Yusoff dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat PLTdL25, Emir Abdul Jalal.
Sementara itu, Tuan Haji Arifin berkata keputusan untuk menaja jersi Raja Bukit dibuat kerana pakej pulangan yang ditawarkan selari dengan hala tuju syarikat, khususnya dalam memperkukuh jenama dan mempromosikan Bubbles O2 ke pasaran antarabangsa.
“Langkah ini juga seiring dengan strategi pemasaran kami untuk mengangkat Bubbles O2 sebagai jenama air mineral antarabangsa, memandangkan PLTdL menyediakan ruang promosi yang meluas, baik di dalam mahupun di luar negara,” katanya.
Kategori Raja Bukit atau King Of The Mountain dianggap antara jersi perlumbaan yang unik dan popular di semua perlumbaan utama dunia seperti Tour de France disebabkan kekuatan mutlak seseorang pendaki untuk menguasai laluan tinggi dan kebijaksanaan percaturan untuk meloloskan diri daripada peloton dan seterusnya mengutip mata di zon-zon pendakian.
Bagi saingan PLTdL25 ini, jersi rebutan polka dot hijau tajaan Bubbles O2 ini diramal berlangsung sengit dengan kehadiran juara bertahan dari pasukan Burgos-Burpellet BH, Mario Aparicio Munoz yang akan cuba mengekang asakan pencabar hebat lain seperti pelumba XDS-Astana Aaron Gate; Davide Bais (Team Polti VisitMalta); Magnus Cort (Uno-X Mobility); Unai Iribar Jauregi (Equipo-Kern Pharma) serta pelumba TSG, Vadim Pronskiy.
Dengan laluan terakhir Peringkat 8 dari Tangkak ke Menara Berkembar PETRONAS di Kuala Lumpur sejauh 180.2km yang menghidangkan satu pendakian Kategori 3 di Mantin dan dua pendakian Kategori 2 di Bukit Antu dan LookOut Ampang, perebutan jersi polka dot hijau tajaan Bubbles O2 ini dijangka berlanjutan sehingga ke garisan penamat.
Edisi ke-29 PLTdL25 yang berstatus 2.ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia UCI, akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September ini dan berakhir di KLCC pada 5 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,244.2km.
Perlumbaan terunggul Asia yang menarik penyertaan 22 pasukan itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan mendapat kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Ia akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September (peringkat pertama) sejauh 96.7 kilometer (km) diikuti peringkat kedua dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang (166.1km); peringkat ketiga dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan (198.2km); peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman (141.5km); peringkat kelima dari Temerloh ke Bukit Fraser, Pahang (123.1km); peringkat keenam dari Shah Alam, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan (123.5km); peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini, Johor (214.9km); peringkat kelapan dari Tangkak, Johor ke Kuala Lumpur (180.2km) pada 5 Oktober.