LANGKAWI: Pelumba Malaysia yang mewakili pasukan benua ST George Continental Cycling Team, Tsen Ren Bao mengakui fizikalnya dalam keadaan lebih baik untuk mengharungi Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang membuka tirainya di sini esok.

Ren Bao yang dilamar pasukan berpangkalan di Australia itu Mac lalu berkata, sejak menyertai pasukan dia sudah mengharungi banyak perlumbaan di seluruh dunia sekali gus menjadi persiapan terbaiknya mengharungi LTdL 2025.

“Saya rasa berada dalam keadaan lebih baik berbanding tahun lalu (penyertaan sulungnya di LTdL),” kata Ren Bao yang juga anak kepada legenda berbasikal lebuh raya negara, Tsen Seong Hoong.

“Saya sudah menyertai 35 hari perlumbaan tahun ini, berkunjung ke seluruh dunia untuk berlumba, jadi ia satu persiapan yang baik. Harap dapat keputusan yang lebih baik berbanding tahun lalu.”

Ren Bao, 22, turut memaklumkan pasukannya baru sahaja pulang daripada tiga perlumbaan jelajah di China – Tour of Huangshan, Tour of Binzhou dan Tour of Shanghai – yang juga dianggap sebagai satu pentas persiapan menghadapi LTdL 2025 yang berstatus 2.ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Saya rasa persiapan agak baik terutama dalam 20 hari kebelakangan ini di China kerana kami sertai tiga siri jelajah. Semua berlangsung dengan baik namun dengan lapan hari perlumbaan seterusnya (LTdL 2025) yang sangat panjang, jadi kami perlu cuba yang terbaik.

“Ia mungkin sama seperti tahun lalu (saingan) tetapi kali ini ada pelumba yang lebih berkualiti berbanding tahun lalu,” katanya.

Sebagai rekod, ST George Continental Cycling Team kembali menghangatkan saingan LTdL 2025 selepas tidak menyertainya pada edisi lalu.

Selain Ren Bao, turut menggalas cabaran ST George Continental Cycling Team pada kali ini adalah Ben Carman, Mitchel Fitzsimons, Nate Hadden, Declan Trezise dan Daniel Whitehouse.

Pada edisi lalu, Ren Bao yang mewakili pasukan kebangsaan menamatkan saingan di kedudukan ke-56 keseluruhan.

– Berita Harian