LANGKAWI: Pelumba XDS Astana Team, Matteo Malucelli mempamer kayuhan bertenaga untuk menjuarai peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas menewaskan pencabar lain dalam penamat beramai-ramai di Langkawi, hari ini.
Perlumbaan sejauh 96.7 kilometer mengelilingi pulau peranginan itu menyaksikan Malucelli, yang juga Raja Pecut edisi lalu, menamatkan saingan dengan catatan masa 2 jam 22 saat.
Pelumba berusia 31 tahun dari Itali itu mengetepikan cabaran sengit Erlend Blikra (Uno X Mobility) dan Arvid De Kleijn (Tudor Pro Cycling Team), sekali gus membuka kempen musim ini dengan bergaya.
“Saya dapati cuaca hari ini memang terbaik dan tidak melakukan kesilapan seperti tahun-tahun sebelum ini. Saya mula melakukan henjutan agak lambat untuk menuju ke garisan penamat.
“Saya memenangi peringkat terakhir tahun lalu dan saya datang ke sini dengan memenangi yang pertama, ia adalah sesuatu yang istimewa,” katanya kepada media, hari ini.
Kemenangan itu membolehkan Malucelli menyarung jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan dan jersi jingga (Raja Pecut) selepas mengumpul 15 mata.
Blikra yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua meraih 12 mata untuk berada di tangga kedua jersi jingga manakala De Kleijn yang dikenali dengan julukan ‘Little Gorilla’ mengumpul sembilan mata di tempat ketiga.
Sementara itu, pelumba St George Continental Cycling Team, Ben Carman berjaya menyambar jersi polka dot (Raja Bukit) selepas mengutip dua mata menerusi zon pendakian hari ini.
Pelumba tempatan dari Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Syawal Mazlin, yang muncul pelumba terbaik negara musim lalu, turut mempamer aksi meyakinkan apabila menduduki tangga kedua Raja Bukit dengan satu mata.
Dalam perkembangan lain, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Rosli berjaya menyarung jersi putih selaku pelumba terbaik Asia, mengatasi George Matsui dari Aisan Racing Team.
Seorang lagi pelumba TSG, Harrif Saleh menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga terbaik Asia dan turut muncul pelumba terbaik ASEAN, kategori baharu yang diperkenalkan tahun ini bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Malaysia.
Perlumbaan berstatus 2.Pro itu akan bersambung esok dengan peringkat kedua sejauh 166.1km dari Padang Besar ke Kepala Batas, yang menawarkan tiga zon pecutan di Jitra, Pendang dan Sungai Petani.
– Berita Harian