PASIR PUTEH Pelumba XDS Astana Team, Matteo Malucelli terus membuktikan keampuhan kayuhannya apabila menjuarai peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 menerusi kemenangan dramatik, hari ini.
Perlumbaan sejauh 197 kilometer dari Gerik ke Pasir Puteh itu menyaksikan Malucelli mengatasi cabaran sengit pelumba Uno-X Mobility, Alexander Kristoff menerusi penamat ‘photo finish’ selepas kedua-duanya meluru serentak ke garisan penamat dengan masa 4 jam 28 minit 4 saat.
Kristoff yang memburu kemenangan ke-100 dalam karier profesionalnya terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala rakan sepasukan, Erlend Blikra melengkapkan podium di tempat ketiga.
Kemenangan kedua selepas peringkat pertama di Langkawi, Ahad lalu menebus kedukaan Malucelli selepas dikecewakan Arvid de Kleijn (Tudor Pro Cycling Team) yang mengungguli peringkat kedua semalam.
Mengulas mengenai kemenangannya dan persaingan hari ini, Malucelli berkata, dia bermula dengan kurang baik namun berjaya mendapatkan rentak diinginkan terutama di hujung saingan.
“Situasi yang baik akan ada terutama kalau menang perlumbaan besar dan menentang pelumba berstatus juara,” katanya selepas tamat perlumbaan sebentar tadi.
Dengan kemenangan itu, Malucelli masih kekal menyarung jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan dengan masa terkumpul 9’57:59, 0.16s di hadapan Blikra dan pelumba XDS Astana Team, Aaron Gate yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Malah, pelumba berusia 31 tahun itu juga masih kekal menyarung jersi jingga selaku Raja Pecut bagi tiga peringkat berturut-turut.
Jersi putih selaku pelumba terbaik Asia pula menyaksikan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Vadim Pronskiy merampas gelaran berkenaan daripada rakan sepasukannya, Nur Aiman Rosli.
Jersi polka dot selaku Raja Bukit turut bertukar tangan apabila kini disarung Patrick Eddy dari Team Picnic PostNL selepas berkongsi 15 mata dengan Jambaljamts Sainbayar (Burgos-Burpellet-BH).
Pelumba Unibet Tietema Rockets, Cedrik Bakke Christophersen pula menduduki tempat ketiga selepas mengumpul tujuh mata.
Perlumbaan peringkat keempat esok membabitkan laluan sejauh 141.5km yang merangkumi tiga zon pecutan di Marang, Dungun dan Paka selain satu zon pendakian di Kijal.
– Berita Harian