PASIR PUTEH Pelumba XDS Astana, Matteo Malucelli menebus kekecewaan semalam apabila muncul juara Peringkat Ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dari Gerik ke Pasir Puteh sejauh 197 kilometer (km) hari ini melalui penentuan ‘photo finish’.
Penyandang jersi Raja Pecut itu terpaksa berhempas-pulas di garisan penamat selepas diasak legenda Norway dari Uno X Mobility, Alexander Kristoff dengan catatan masa empat jam 28 minit 04 saat (s).
Sementara itu, rakan sepasukan Kristoff, Erlend Blikra menduduki tempat ketiga dalam penamat beramai-ramai.
Menurut Malucelli yang menafikan kemenangan ke-99 buat Kristoff, dia bermula dengan kurang baik, namun kembali mendapat rentak di hujung saingan dan mengakui dalam perlumbaan akan ada situasi memihak kepadanya.
“Situasi yang baik akan ada terutama kalau menang perlumbaan besar dan menentang pelumba berstatus juara,” katanya selepas tamat perlumbaan.
Ujar pelumba kelahiran Itali itu, dia hanya menunggu waktu sesuai sehingga ke garisan penamat iaitu pendekatan sama seperti tahun lalu.
Ia adalah kejayaan kedua Malucelli selepas juara Peringkat Pertama di Pulau Langkawi, membolehkannya mengekalkan jersi hijau (klasifikasi keseluruhan) dengan catatan masa 9:57:59s, 0.16s di hadapan Blikra dan pelumba XDS Astana Team, Aaron Murray Gate yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Dia yang muncul naib juara di peringkat kedua semalam, turut kekal menyarung jersi jingga selaku Raja Pecut untuk tiga peringkat berturut-turut.
Jersi putih selaku pelumba terbaik Asia pula menyaksikan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Vadim Pronskiy merampas gelaran berkenaan daripada rakan sepasukannya, Nur Aiman Rosli.
Jersi polka dot selaku Raja Bukit turut bertukar tangan apabila kini disarung Patrick Eddy dari Team Picnic Postnl selepas berkongsi 15 mata dengan Jambaljamts Sainbayar (Burgos-Burpellet-BH).
Pelumba Unibet Tietema Rockets, Cedrik Bakke Christophersen pula menduduki tempat ketiga selepas mengumpul tujuh mata.
Saingan peringkat keempat esok membabitkan laluan sejauh 141.5km yang merangkumi tiga zon pecutan iaitu di Marang, Dungun dan Paka selain satu zon pendakian di Kijal.
– Harian Metro