GERIK Kekalahan tipis tahun lalu masih segar dalam ingatan Arvid de Kleijn.

Cukup perit apabila pelumba Tudor Pro Cycling itu kempunan jersi jingga selaku Raja Pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 selepas tewas hanya dengan beza dua mata kepada pencabar dari Itali, Matteo Malucelli.

Namun edisi kali ini, bintang dari Belanda itu tidak mahu lagi mengulangi kisah lama.

“Sekarang saya perlu lebih berhati-hati. Matteo menang Ahad lalu dan hari ini, saya pula menang semalam. Saya beritahu dia kita teruskan persaingan ini hingga ke akhir.

“Ia pertarungan yang adil dan menyeronokkan, apatah lagi kami berdua sama-sama sudah menang peringkat,” katanya.

De Kleijn mengakui Malucelli tetap pilihan utama mempertahankan jersi jingga, namun tekadnya jelas mahu menebus kegagalan tahun lalu.

Sebagai tambahan, pelumba berusia 30 tahun itu tidak menolak kemungkinan mencabar rekod 24 kemenangan peringkat LTdL milik legenda Itali, Andrea Guardini yang digelar ‘Mr Langkawi’.

“Mungkin saya boleh atasi, siapa tahu? Harap saya masih ada beberapa tahun lagi di sini. 24 kemenangan adalah sesuatu yang besar,” ujarnya.

Kini, persaingan sengit dua raja pecut Eropah itu dijangka terus menggegarkan laluan LTdL 2025.

– Harian Metro