KEMAMAN: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Rosli hampir melakukan kejutan apabila mendahului sebahagian besar saingan Peringkat 4 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, sebelum akhirnya terpaksa akur ‘ditangkap’ semula oleh peloton utama hanya tiga kilometer (km) sebelum ke garisan penamat.
Walaupun menamatkan perlumbaan di tempat ke-110 daripada 118 pelumba, Nur Aiman dinobatkan sebagai Pelumba Paling Menyerlah hasil aksi penuh berani yang mewarnai pentas sejauh 141.5 km dari Kuala Terengganu ke Kemaman, hari ini.
Pelumba berusia 26 tahun itu berkata, percaturan dan strategi itu sebenarnya sudah dirancang sejak awal lagi untuk melepaskannya dalam kelompok ‘breakaway’.
“Memang perancangan daripada awal. Pagi tadi pasukan arahkan saya masuk ‘breakaway’ dan Alhamdulillah taktikal itu menjadi,” kata Nur Aiman kepada media selepas perlumbaan.
“Saya berjaya kutip dua mata penuh di zon pecutan, memenangi zon pendakian di Kijal, dan akhirnya dapat gelaran pelumba paling menyerlah. Jadi bagi saya, tugasan saya hari ini sudah selesai.”
Mengulas lanjut, Nur Aiman berkata, dia juga sudah sedaya upaya mencuba untuk melepasi zon pendakian terakhir di Kijal
“Selepas zon pendakian, saya memang merancang untuk mengerah segala kudrat yang ada sebab saya tahu lawan dalam ‘breakaway’ sudah kehabisan tenaga. Malangnya hajat nak menang belum kesampaian. Tapi saya puas hati sebab dapat mencuba,” katanya.
Perlumbaan Peringkat 5 esok dijadual berlangsung dari Temerloh ke Fraser’s Hill, membabitkan laluan sejauh 123.1km dengan merangkumi tiga zon pecutan di Mentakab, Bukit Damar dan Mempaga selain dua zon pendakian di Raub dan Fraser’s Hill.
Ditanya mengenai cabaran pendakian ke Fraser’s Hill, Nur Aiman berkata, laluan itu akan diberikan ruang kepada pelumba pendaki untuk mencabar saingan.
“Itu laluan untuk pendaki. Kalau saya ada peluang terlepas ‘breakaway’, saya akan cuba, tapi selebihnya saya serah kepada pakar pendakian pasukan,” katanya.
– Berita Harian