KEMAMAN: Masih belum ada rezeki buat pelumba berpengalaman Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil untuk memecahkan badi penamat dalam kelompok lima terbaik di perlumbaan peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL) sejak tahun lalu.
Izzat menamatkan perlumbaan Peringkat 4 LTdL 2025 hari ini di tempat ketujuh, kedudukan penamat sama diraihnya di Peringkat 2 (Padang Besar ke Kepala Batas, Isnin lalu) dan di Peringkat 1 di Kuah, Langkawi pada LTdL 2024.
Keputusan terbaik diraih pelumba berusia 30 tahun itu di LTdL adalah di Peringkat 1 LTdL 2023 apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan kelima bagi Peringkat 8 dari Setia Alam ke Kuala Lumpur pada tahun yang sama.
Mengulas mengenai perlumbaan Peringkat 4, Izzat berkata, dia tetap bersyukur dengan keputusan hari ini, apatah lagi meraih gelaran Pelumba Terbaik Asia dan Terbaik ASEAN.
“Syukur Alhamdulillah,” kata Izzat yang turut berpuashati apabila rakan sepasukannya, Ahmad Syazrin Awang Ilah turut berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11 yang juga kedua terbaik Asia bagi Peringkat 4.
“Baki kilometer terakhir itu memang paling mencabar sekali kerana ada dua selekoh berbahaya di situ. Selepas itu, saya cuba juga untuk bertahan dalam kelompok 10 terbaik pada kilometer terakhir.
“Saya cuba buat yang terbaik dan Alhamdulillah, saya dapat tempat ketujuh walaupun sasaran saya lebih tinggi sebenarnya. Kalau boleh saya nakkan penamat di podium, tetapi tempat ketujuh, saya juga bersyukur.”
Perlumbaan Peringkat 5 esok dijadual berlangsung dari Temerloh ke Fraser’s Hill, membabitkan laluan sejauh 123.1km dengan merangkumi tiga zon pecutan di Mentakab, Bukit Damar dan Mempaga selain dua zon pendakian di Raub dan Fraser’s Hill.
– Berita Harian