BUKIT FRASER: Pelumba TotalEnergies, Joris Delbove melakar kejutan apabila memenangi kayuhan sukar Peringkat 5 jelajah berbasikal PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) dari Temerloh ke Bukit Fraser, hari ini.

Dianggap sebagai peringkat penentuan kerana ketiadaan Genting Highlands dan Cameron Highlands tahun ini, Delbove, 25, hanya menunggu detik yang sesuai untuk meloloskan diri dari sekelompok 17 pelumba sebelum mengatasi dua pencabar bersamanya pada 5km terakhir. Anders Halland Johannessen (Uno-X Mobility) menamatkan kayuhan di tempat kedua, diikuti Yanis Voisard (Tudor Cycling Team).

Kelompok 17 pelumba tersebut menamatkan kayuhan sejauh 123.1km itu dengan masa 3 jam 25 saat dan Delbove meraih 10 saat bonus untuk mengangkatnya selaku pendahulu keseluruhan Baharu, sekaligus menyarung jersi hijau tajaan PETRONAS.

Delbove kini mengumpul 16 jam 16 minit 34 saat, merampas kedudukan teratas individu keseluruhan daripada pelumba XDS-Astana, Matteo Malucelli yang menyarung jersi itu sejak peringkat pertama di Pulau Langkawi.

Namun, genggaman jersi hijau itu diihat masih rapuh dan mampu bertukar tangan lagi kerana Johannessen dan Adrien Maire (Unibet Tietema Rockets) hanya dipisahkan dengan 6 saat di belakang, diikuti Voisard (10s).

“Ini merupakan satu kejayaan yang besar dan saya gembira dapat menghadiahkan sesuatu kepada pasukan. Satu cerita baru dalam karier saya dan saya tidak menyedari betapa besarnya kemenangan ini.

“Ketika berada dalam kelompok depan, saya mengekori Johannessen dan seorang pelumba Astana dan melihat ada peluang untuk meloloskan diri pada baki 3km, tetapi mereka cuba mengejar dan saya mampu bertahan hinggalah ke garisan penamat,” katanya yang menang peringkat di Tour of Rwanda dua bulan lalu, selain Tour of Alsace tahun lalu.

Delbove berkata dia dan rakan sepasukan akan berusaha mempertahankan jersi hijau yang berada dalam genggamannya pada baki peringkat seterusnya kerana kelebihan 6 saat adalah terlalu tipis.

Sementara itu, Malucelli tetap gembira dengan jersi oren Raja Pecut tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan terus selesa dengan perbezaan 24 mata di depan pencabar terdekat Erlend Blikra (Uno-X).

“Memang sudah dijangka dan saya tetap gembira dengan jersi Raja Pecut dan jumlah perbezaan mata juga agak selesa. Mungkin tugas saya selepas ini berubah untuk cuba membantu rakan sepasukan Nicolya (Vinokourov) mencabar jersi hijau pula,” katanya pada sidang media selepas perlumbaan peringkat 5 itu.

Nicolya, anak kepada legenda Alexandr Vonokourov, menamatkan kayuhan di tempat keempat dan merampas jersi putih Pelumba Terbaik Asia tajaan Rakan Muda yang sebelum ini disarung Vadim Pronskiy (TSG).

Dia kini memiliki kelebihan 39 saat di depan pencabar terdekat dari Mongolia, Jambaljamts Sainbayar yang mewakili Burgos Burpellet BH, manakala pelumba Thailand Continental Team berada 1:29s di belakang.

Jersi polka dot Raja Bukit tajaan BubblesO2 masih digenggam pelumba Team Picnic PostNL, Patrick Eddy yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-33 tetapi kekal teratas dengan 15 mata, ketika hanya 10 mata saja diberikan kepada pemenang Peringkat 5 itu.

Tugas itu dilihat turut sukar kerana Eddy hanya mempunyai dua rakan sepasukan yang masih bertahan selepas Christian Van Rees menjadi antara dua pelumba yang gagal menamatkan kayuhan (DNF) pada peringkat itu.

Sebelum itu, 114 pelumba dilepaskan di depan Terminal Bas Temerloh oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Ketua PETRONAS Pantai Timur (Stakeholder Relations), Ahmad Shazly Ramli pada jam 11.15 pagi, di bawah cuaca panas.

Seperti yang dapat disaksikan pada peringkat lalu, sudah ada gerakan pemecahan awal dengan 7 pelumba dapat menjarakkan diri sehingga 2 minit 40 saat di depan iaitu Nicolas Mercerou (TotalEnergies); Vojtech Kminek (Burgos); Nur Aiman Rosli (TSG); Yauhen Sobal (Chengdu-DYC); Eduoard Bonnefoix (7-Eleven); Yusri Shaari (Malaysia) dan Zeb Kyffin (Unibet Tietema Rockets).

Kelompok depan ini menguasai tiga zon pecutan awal dengan Kyffin, Mercerou dan Kminek di zon pecutan pertama di Mentakab (km15.3); Nur Aiman; Mercerou dan Kminek di pecutan kedua (Bukit Damar) dan Kyffin, Mercerou di Mempaga.

Zon pecutan kedua (Bukit Damar) menyaksikan Nur Aiman, Mercerou dan Kminek berada di depan manakala Kyffin, Mercerou dan Yusri menguasai pecutan ketiga di Mempaga (km54.8).

Nur Aiman turut menguasai zon pendakian Kategori 3 di Raub (km83.6), diikuti Bonnefoix dan Kyffin tetapi peloton yang meningkatkan tempo kayuhan untuk menangkap kumpulan depan itu kira-kira 20km dari garisan penamat.

Esok, Peringkat 6 PLTdL25 diteruskan dengan kayuhan jarak pendek bermula dari Shah Alam ke Port Dickson sejauh 123.5km, bermula di Dataran Shah Alam pada jam 9 pagi dan berakhir di depan Royal Port Dickson Yacht Club, menghidangkan tiga zon pecutan di Jenjarom (km25.2); Banting (km36.9) dan Sungai Pelek (km85.6).

Edisi ke-29 PLTdL25 dengan jarak keseluruhan 1,224.2km disenaraikan sebagai perlumbaan berstatus 2.ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia UCI akan berakhir dengan Peringkat 8 dari Tangkak ke KLCC, Ahad ini.

Ia dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).