RAUB: Pelumba TotalEnergies, Joris Delbove menampilkan kayuhan bertenaga apabila menawan puncak Bukit Fraser untuk muncul juara Peringkat 5 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, hari ini.

Peringkat yang dianggap ‘Queen Stage’ itu menyaksikan pelumba berusia 25 tahun dari Perancis itu menamatkan perlumbaan sejauh 123.1 kilometer dengan catatan masa tiga jam dan 25 saat (s), sekali gus melakar kemenangan keduanya musim ini selepas kejayaan di Tour du Rwanda, Februari lalu.

Lebih manis, Delbove turut memahat nama dalam sejarah penamat ikonik Bukit Fraser, selepas kali terakhir dimenangi pelumba Algeria, Youcef Reguigui pada edisi 2015.

Pelumba Uno-X Mobility, Anders Halland Johannessen, menamatkan saingan di tempat kedua diikuti Yannis Voisard (Tudor Pro Cycling Team) di kedudukan ketiga.

Delbove ketika ditemui media selepas perlumbaan berkata, pasukannya sudah menjadikan peringkat ini sebagai sasaran utama sejak awal kejohanan.

“Kami datang ke sini untuk memenangi keseluruhan dan terutamanya peringkat ini. Jadi kami bercita-cita tinggi namun selepas itu kami tetap realistik, saingannya sangat kuat.

“Jadi ia memang matlamatnya tetapi untuk mencapainya, saya tahu ia akan menjadi rumit dan saya tetap berjaya melakukannya.

“Saya sangat gembira dan sekarang apa yang perlu dilakukan… sekarang kami akan cuba untuk mendapatkan kedudukan terbaik sehingga ke akhir,” katanya.

Kemenangan itu turut menyaksikan Delbove merampas jersi hijau (Pendahulu Keseluruhan) daripada pelumba XDS Astana Team, Matteo Malucelli, yang masih mengekalkan jersi jingga selaku Raja Pecut.

Sementara itu, jersi polka dot (Raja Bukit) kekal milik pelumba Team Picnic PostNL, Patrick Eddy, yang berkongsi 15 mata dengan Jambaljamts Sainbayar (Burgos-Burpellet-BH). Delbove berada di tempat ketiga dengan 10 mata.

Jersi putih (Pelumba Terbaik Asia) pula bertukar tangan kepada pelumba XDS Astana Team, Nicolya Vinokurov.

Saingan Peringkat 6 esok bakal menelusuri laluan sejauh 123.5km dari Shah Alam ke Port Dickson dengan membabitkan tiga zon pecutan, masing-masing di Jenjarom, Banting dan Sungai Pelek.

– Berita Harian