PORT DICKSON: Saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 Peringkat 6 berlangsung penuh dramatik apabila pendahulu Jersi Jingga, Matteo Malucelli terpaksa menarik diri susulan terbabit dalam kemalangan awal perlumbaan.

Insiden yang berlaku di kilometer 16.5 itu menyaksikan pelumba pasukan XDS Astana itu terbabit dalam pelanggaran dengan pelumba Uno-X Mobility, Erland Blikra, menyaksikan Malucelli terpaksa ‘angkat bendera putih’ sekali gus menamatkan cabarannya untuk mempertahankan gelaran Raja Pecut yang dimenanginya musim lalu.

Blikra bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan meneruskan perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan hujan sebelum menamatkan saingan di tempat kedua.

Perlumbaan sejauh 123.5 kilometer itu berakhir dengan penamat beramai-ramai di Port Dickson, dengan pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn muncul juara selepas mencatat masa 2 jam 32 minit 55 saat (s).

Manuel Penalver (Team Polti VisitMalta) melengkapkan podium di tempat ketiga.

“Perlumbaan berlangsung dalam keadaan basah, tetapi ia tetap berjalan lancar. Kadangkala hujan lebih baik berbanding cuaca panas,” kata De Kleijn, yang kini meraih dua kemenangan peringkat setakat ini.

Mengulas insiden menimpa Malucelli, De Kleijn berharap pelumba Itali itu segera pulih.

“Satu kehilangan besar. Saya doakan dia cepat sembuh dan kembali berlumba dalam masa terdekat,” katanya.

Turut mencuri tumpuan ialah pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil yang menamatkan saingan di tempat keempat, sekali gus dinobatkan sebagai Pelumba Asia Terbaik bagi peringkat ini.

Sementara itu, Joris Delbove (TotalEnergies) terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan dan kekal menyarung Jersi Hijau dengan catatan keseluruhan 18:48:29s.

Ketiadaan Malucelli menyaksikan Jersi Jingga bertukar tangan kepada Blikra yang kini mengumpul 45 mata, diikuti De Kleijn (42 mata) dan Penalver (37 mata).

Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit masih kekal menjadi milik Patrick Eddy (Team Picnic Postnl) yang berkongsi 15 mata dengan Jambaljamts Sainbayar (Burgos-Burpellet-BH), manakala Delbove ketiga dengan 10 mata.

Dalam kategori Jersi Putih (Pelumba Asia Terbaik), Nicolya Vinokurov (XDS Astana) terus unggul dengan masa 18:49:40s.

Sainbayar berada di tempat kedua (18:50:22s) dan Thanakhan Chaiyasombat (Thailand Continental Cycling Team) ketiga (18:51:12s).

Perlumbaan Peringkat 7 esok dijadual berlangsung dari Melaka ke Medini, membabitkan laluan sejauh 214.9km dan merangkumi tiga zon pecutan di Sungai Rambai, Semerah dan Pontian.

– Berita Harian