TANGKAK: Pelumba berpengalaman dari Norway, Alexander Kristoff, melabuhkan tirai karier profesionalnya dengan penuh bermakna apabila diberi penghormatan istimewa sempena penampilan terakhirnya di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.

Acara Peringkat 8 LTdL edisi ke-29 yang berlangsung di Dataran Tangkak, Ledang, hari ini menyaksikan Kristoff diraikan menerusi satu upacara penuh simbolik.

Lebih istimewa, pelumba berusia 38 tahun itu menaiki beca yang dikayuh legenda berbasikal negara, Anuar Manan, sebelum melintasi ‘guard of honour’ yang dibentuk oleh rakan pelumba sebagai tanda penghormatan atas segala pencapaiannya sepanjang 19 tahun karier.

“Sesuatu yang sangat menyentuh hati. Saya masih mahu berlumba, tetapi selepas insiden semalam, saya terpaksa akur. Namun, penghormatan seperti ini amat bermakna buat saya,” kata pelumba pasukan Uno-X Mobility itu.

Sepanjang karier yang bermula pada 2006, Kristoff sudah mengumpul 98 kemenangan profesional, termasuk empat kemenangan peringkat di Tour de France dan dianggap antara pelumba elit dalam sejarah perlumbaan berbasikal jalan raya.

“Saya berbangga dengan pencapaian ini, namun sudah tiba masanya untuk saya membuka lembaran baharu dalam hidup. Pada usia 38 tahun, saya rasa inilah waktu terbaik untuk generasi baharu mengambil alih,” katanya.

Kristoff turut memberi bayangan akan terus kekal dalam arena sukan berbasikal dengan memainkan peranan dalam penganjuran Tour of Norway tahun hadapan.

“Perlumbaan itu berlangsung di halaman saya sendiri. Saya ada banyak memori manis di situ dan saya tidak sabar untuk menyumbang kembali kepada sukan ini dengan membantu penganjur,” katanya.

– Berita Harian