TANGKAK: Kejayaan Nur Aiman Rosli menamatkan saingan di tempat kedua Peringkat 7 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 semalam disifatkan sebagai satu ‘kelegaan besar’ buat Terengganu Cycling Team (TSG) selepas beberapa tahun menunggu kemunculan semula pelumba tempatan di podium perlumbaan berprestij berkenaan.
Pengarah Sukan TSG, Saiful Anuar Aziz tidak dapat menyembunyikan rasa bangga dan puas hati terhadap pencapaian pelumbanya itu yang menamatkan perlumbaan dari Melaka ke Medini hanya dua saat (s) di belakang pemenang, Zeb Kyffin dari Unibet Tietema Rockets.
Dan kejayaan itu secara tidak langsung seakan mengembalikan era kegemilangan TSG yang kali terakhir berada di podium menerusi pelumba tempatan, Harrif Salleh di pentas LTdL pada 2020.
Pada ketika itu, Harrif memenangi Peringkat 7 dari Bagan ke Alor Setar.
“Lega… akhirnya pelumba kita naik semula ke podium selepas tiga atau empat tahun menunggu sejak kemenangan terakhir Harrif,” kata Saiful.
“Kalau dulu, Harrif menang dalam pecut, kali ini Aiman pula berjaya melalui pemecahan.”
Sejak mula menyertai TSG tahun lalu, Saiful menyifatkan Aiman sudah menunjukkan peningkatan ketara, hasil daripada pendedahan berterusan di kejohanan antarabangsa.
“Kami banyak beri dia peluang berlumba di luar negara. Dalam setahun, pasukan sertai lebih 30 kejohanan. Dari situ Aiman belajar dan makin matang. Dari segi latihan, tak banyak beza, cuma pengalaman itu yang buat dia meningkat,” katanya.
Pada musim ini, Aiman sudah menyertai beberapa kejohanan antarabangsa antaranya di AlUla Tour; Tour of Thailand; Tour de Kumano; Tour de Gyeongnam; Tour of Route Salvation dan Tour of Shanghai.
– Berita Harian