KUALA LUMPUR: Debaran yang memuncak buat pelumbaTeam TotalEnergie, Joris Delbove berakhir selepas dia tiba dengan selamat dalam peloton pada peringkat terakhir Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dari Tangkak ke Kuala Lumpur, sekali gus muncul juara keseluruhan edisi ke-29.

Delbove menjadi pelumba Perancis kedua selepas Anthony Charteau (2007) merangkul jersi hijau namun mencipta sejarah perbezaan paling sedikit dengan hanya dibezakan tiga saat (s) mengatasi wakil Uno X Mobility, Anders Halland Johannessen.

Masa keseluruhan yang dicatatkan pelumba berusia 25 tahun itu selepas lapan peringkat perlumbaan ialah 27 jam 17 minit 38 saat (s).

Berada di tempat ketiga klasifikasi keseluruhan ialah Yannis Voisard (Tudor Pro Cycling) yang dibezakan dengan masa 6s.

Catatan masa paling sedikit untuk juara keseluruhan sebelum ini ialah 5s ketika Jonathan Monsalve (Androni Giocattoli) muncul juara pada 2011, ketika dia mentepikan Libardo Nino (LeTua Cycling Team).

Kejayaan Delbove menawan puncak Bukit Fraser pada peringkat kelima jelas sekali membantunya untuk mengekalkan jersi hijau sehingga tamat saingan menebus kehampaan bapa saudaranya, Jerome pada LTdL 2000 yang gagal meraih keputusan membanggakan.

“Saya akan simpan kenangan yang sangat indah mengenai Malaysia dan LTdL. Ia satu pengalaman yang menakjubkan melihat keindahan negara ini, pemandangannya sungguh memukau, dan pada masa sama perlumbaannya sangat sengit. Jadi, ini satu kemenangan yang cukup bermakna dan saya sangat gembira,” kata Delbove.

Dalam perlumbaan sejauh 180.2 kilometer yang berakhir di Menara Berkembar Petronas (KLCC) menyaksikan Aaron Gate dari XDS Astana muncul juara dengan catatan masa 3:50:05s.

Meninggalkan Aivaras Mikutis (Tudor Pro Cycling) di tempat kedua, manakala Nil Gimeno dari Equipo Kern Pharma di tempat ketiga.

Jersi jingga untuk Raja Pecut dirangkul pelumba Uno X Mobility, Erlend Blikra yang mengumpul 63 mata, diikuti Arvid De Kleijn (51) dan wakil Team Polti VisitMalta, Manuel Penalver Aniorte (43).

Patrick Eddy dari Team Picnic PostNL menyarung jersi polka dot (Raja Bukit) dengan 15 mata berkongsi dengan pelumba Burgos Burpellet BH, Jambaljamts Sainbayar, manakala ketiga milik Gimeno (13).

Jersi putih selaku terbaik Asia menjadi milik Nicolya Vinoukorov dari XDS Astana (27:17:49s), diikuti pelumba Thailand Continental Cycling, Thanakhan Chaiyasombat (27:19:21s) dan Sainbayar di tempat ketiga (27:19:44s).

Pasukan terbaik keseluruhan milik Team Polti VisitMalta (81:53:46s), diikuti Unibet Tietema Rockets (81:54:39s) dan Burgos Burpellet BH (81:55:28s) di tempat ketiga.

– Harian Metro