KUALA LUMPUR: Pelumba muda berbasikal lebuh raya negara, Tsen Ren Bao menutup tirai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dengan pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai pelumba terbaik Malaysia keseluruhan.
Mewakili pasukan St George Continental Cycling Team, pelumba berusia 21 tahun itu menamatkan saingan di tempat ke-34 klasifikasi keseluruhan (GC) dan berada dalam kelompok lima terbaik kategori Asia.
“Secara keseluruhan, ia satu perlumbaan yang baik. Saya berterima kasih kepada Brett Dutton (pengarah sukan) dan pasukan St George atas peluang ini serta penganjur LTdL.
“Kami menamatkannya dengan nota positif walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki,” katanya ketika ditemui selepas peringkat terakhir dari Tangkak ke Kuala Lumpur, semalam.
Ren Bao mengakui perlumbaan terakhir agak mencabar terutama ketika menuju pendakian utama apabila peloton mula menekan rentak tinggi 20 kilometer (km) sebelum tiba di kaki bukit.
“Saya cuba ikut rentak tetapi mula kehabisan tenaga dan terpaksa ikut kelajuan sendiri.
“Akhirnya saya tamat dalam kumpulan kedua. Tapi yang penting, kami sampai ke garisan penamat,” katanya.
Meskipun berbangga bergelar pelumba nombor satu Malaysia, Ren Bao tetap meletakkan sasaran lebih tinggi apabila mahu menembusi kelompok podium kategori Asia dan menyarung jersi putih satu hari nanti.
“Rasa seronok jadi pelumba terbaik Malaysia, tapi sasaran sebenar saya ialah untuk naik podium Asia.
“Kali ini saya terlepas sedikit, tapi itulah matlamat utama saya.
“Saya belajar banyak mengenai kesabaran, kerja keras dan makan lebih banyak. Saya kena tambah saiz (fizikal badan),” kata anak kepada legenda berbasikal lebuh raya negara, Tsen Seong Hoong itu.
Ren Bao yang menyertai LTdL buat kali kedua berharap dapat terus bersama pasukan St George selepas kontraknya tamat hujung tahun ini.
“Saya harap dapat sambung lagi dengan mereka. Sasaran saya dalam tiga tahun akan datang ialah tamat dalam kelompok 20 terbaik keseluruhan, dapat pingat dalam kategori Asia dan kalau boleh, jersi sekali,” katanya yang menjadi pelumba pertama negara tiba di garisan penamat di ‘Queen Stage’ di Bukit Fraser.
Tahun lalu, Ren Bao menduduki tempat ke-56 GC dan kelima terbaik negara ketika mewakili skuad kebangsaan.
– Harian Metro