KUALA LUMPUR: Meskipun ketiadaan juara keseluruhan, Max Poole dan juara pecut 2023, Simon Pellaud di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, ia tetap dilihat tidak akan mengganggu kemeriahan edisi ke-29 yang dijangka berlangsung 28 September hingga 5 Oktober ini.
Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2025, Emir Abdul Jalal, beliau melihat untuk edisi kali ini tetap akan menjadi tumpuan terutama membabitkan beberapa nama besar dalam kancah pelumbaan itu.
“Kami percaya saingan kali ini tetap menjadi tumpuan ramai kerana pasukan itu ada menyenaraikan pakar pecut handalannya, Fabio Jakobsen manakala pasukan Uno-X ada menyenaraikan Alexander Kristoff dalam barisan awalnya sementara Tudor pula meletakkan pakar pecut, Alberto Dainese.
“Bagi kami, ini adalah satu penghormatan besar kerana saingan kali ini turut disertai tiga nama besar yang mempunyai koleksi kemenangan dalam jelajah Grand Tour dan pelbagai perlumbaan jelajah Eropah dan klasik sehari, sekali gus mengangkat profil dan imej LTdL itu sendiri,” kata Emir pada sidang media pengumuman pasukan LTdL 2025, hari ini.
Turut hadir sama dalam majlis itu adalah Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Arrifin Mohd Ghani.
Jakobsen, 31, mempunyai koleksi 46 kemenangan dalam kariernya setakat ini, iaitu dua dalam Tour de France (2022) dan lima peringkat di Vuelta (2019-2021), selain menjuarai gelaran Raja Pecut Vuelta pada 2021, serta pelbagai jersi Raja Pecut lain seperti Volta a Algarve, Tour of Hongrie dan Tour of Belgium.
Sementara Kristoff pula yang kini berusia 38 tahun dan pernah menyarung jersi pasukan handalan seperti BMC Racing Team, Team Katusha, UAE Team Emirates dan Intermache-Wanty Gobert, mengumpul koleksi kemenangan dalam empat peringkat Tour de France (2014-2020), selain perlumbaan jelajah dan klasik sehari seperti Milan-San Remo (2014), Gent-Wevelgem (2019), Tour of Flanders (2015), GP Quest France (2015) dan Classica de Almeira (2022).
Pelumba kelahiran Itali, Dainese, 27, pula mengukir dua kemenangan peringkat dalam Giro d’Italia (2022 dan 2023) selain satu peringkat di Vuelta pada 2023 ketika bersama pasukan Sunweb.
Tambah Emir, LTdL 2025 yang merentasi semua 12 negeri di Semenanjung dengan jarak keseluruhan 1,257.8 kilometer (km) kali ini tetap berada dalam kategori antara jelajah terunggul di benua Asia berdasarkan jumlah penyertaan pasukan handalan dari beberapa benua.
– Harian Metro