Lebih menarik lagi, edisi kali ini bakal menampilkan sebuah pasukan baru berstatus ‘world’ iaitu Cofidis dari Perancis yang menggantikan EF Education Easypost.
Manakala, terdapat lapan pasukan ‘pro’ dengan dua muka baru iaitu Unibet Tietema Rockets dan Team Solution TechVini Fantini.

Bagi Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Ariffin Mohd Ghani, sambutan hangat yang dipamerkan terhadap LTdL kali ini menyebabkan pihak penganjur terpaksa menolak penyertaan empat pasukan dari Eropah.

“Secara keseluruhan penganjur masih berjaya kekalkan tiga pasukan daripada kategori utama dan menambah lapan pasukan professional berbanding tujuh pada 2024.
“Tahun ini adalah melebihi permohonan tetapi terpaksa tolak empat pasukan iaitu tiga dari Sepanyol dan satu dari Potugal, ini menyaksikan LTdL mendapat sambutan hangat,” katanya.

Bagi pelumba pula, agak sedih apabila juara bertahan, Max Poole dan juga ‘Little Gorilla’ iaitu Arvid de Kleijn tidak akan menyertai perlumbaan kali ini.
Namun, berita gembira buat peminat berbasikal lebuhraya negara apabila pelumba tempatan, Tsen Ren Bao, akan menjadi tumpuan apabila sah menyertai pasukan St George Continental Team dari Australia bagi saingan LTdL kedua dalam kariernya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal, menjanjikan faktor keselamatan untuk penganjuran kali ini berada pada aras tertinggi demi mengelak insiden kemalangan seperti edisi lalu terjadi sekali lagi, apabila seorang pakar pecut negara iaitu Elmi Jumari terpaksa dikejarkan ke hospital.

– Stadium Astro