KUALA LUMPUR: Tiga bekas pelumba WorldTeam akan mengukuhkan cabaran pasukan ProTeam Itali, Solution Tech-Vini Fantini dalam saingan berprestij Le Tour de Langkawi 2025.
Perlumbaan berbasikal selama lapan hari itu bermula pada 28 September dengan penyertaan pasukan yang sebelum ini dikenali sebagai Team Corratec.
Pasukan itu tidak asing dengan perlumbaan di Asia setelah meraih banyak kemenangan termasuk dalam cuaca panas melampau.
Barisan Solution Tech diketuai tiga pelumba berpengalaman iaitu Alexandre Balmer, Matteo Fabbro dan pakar pecut Dusan Rajovic.
Ketua Pegawai Operasi LTdL Emir Abdul Jalal menyatakan gabungan tiga pelumba itu bersama dua pelumba asal Corratec memberi keseimbangan kepada pasukan.
“Kita sering melihat pasukan ProTeam dan Continental memberi saingan sengit kepada pasukan elit WorldTeam di LTdL,“ katanya.
Majoriti pelumba yang dihantar sering berlumba di benua Asia dan telah meraih banyak kejayaan sejak beberapa tahun lalu.
Rajovic dari Serbia telah meraih 18 kemenangan profesional termasuk dinobatkan Raja Pecut pada Tour of Sharjah dan perlumbaan lain tahun ini.
Juara kebangsaan ujian masa Serbia itu mencatat 11 kemenangan peringkat tahun ini dan dianggap pencabar utama Jersi Oren.
Rajovic dijangka mendapat bantuan rakan senegaranya Djordje Djuric dan pelumba Itali Attilio Viviani yang pernah beraksi pada LTdL 2023.
Tiga pelumba lain yang akan mencabar kedudukan individu keseluruhan ialah Balmer, Fabbro dan Alessandro Iacchi.
Fabbro pernah lima kali berkayuh di Grand Tour manakala Iacchi pernah sekali berkayuh di Giro d’Italia.
Balmer yang dianggap pakar perlumbaan sehari dijangka memilih Peringkat 3 dan Peringkat 8 untuk mempamerkan kemahirannya.
LTdL 2025 akan merentasi semua 12 negeri di Semenanjung dengan lapan peringkat sejauh 1,243.5 kilometer.
Perlumbaan bermula di Langkawi pada 28 September dan berakhir di hadapan KLCC pada 5 Oktober.
Jelajah berstatus 2.ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia UCI itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara.
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia memberikan sokongan penuh kepada penganjuran perlumbaan tahunan ini.Malaysia-themed souvenirs
Peringkat pertama bermula di Langkawi sejauh 96.5 kilometer manakala peringkat terakhir dari Tangkak ke Kuala Lumpur sejauh 180.5 kilometer.
– The Sun