KUALA LUMPUR: Harapan peminat tempatan untuk menyaksikan kelibat pelumba pecut handalan, Fabio Jakobsen dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 akhir bulan ini, masih belum tertutup.
Ini kerana pelumba berusia 29 tahun dari pasukan Team Picnic PostNL itu masih kekal dalam senarai untuk LTdL walaupun terpaksa berehat panjang selepas mengalami patah tulang selangka ketika terjatuh di Jelajah Renewi di Belgium, bulan lalu.
Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abd Jalal mengesahkan setakat ini pasukan Picnic PostNL belum menggugurkan nama Jakobsen daripada skuad mereka untuk perlumbaan bertaraf UCI ProSeries itu.
“Jakobsen terbabit dalam kemalangan bulan lalu menyebabkan patah tulang selangka dan dirawat di hospital.
“Namun, pasukannya masih mengekalkan beliau dalam senarai untuk LTdL dan tidak membuat sebarang perubahan setakat ini.
“Jadi, saya percaya mereka optimis dia boleh pulih tepat pada waktunya,” katanya.
Emir berkata, kehadiran Jakobsen akan menjadi penghormatan besar buat LTdL memandangkan pelumba Belanda itu dianggap antara pelumba pecut terbaik dunia.
“Kalau dia dapat berlumba di sini, sudah tentu dia boleh menyerlah kerana LTdL sinonim dengan perlumbaan sprinter.
“Tetapi jika dia terpaksa menarik diri, kita tetap faham dan mendoakan dia cepat sembuh,” katanya.
Musim ini cukup sukar buat Jakobsen apabila April lalu dia menjalani pembedahan pada arteri iliac di kedua-dua kakinya, menyebabkan terpaksa berehat lama sebelum membuat kemunculan semula di Tour of Denmark.
Namun, kepulangannya tidak bertahan lama selepas menarik diri pada peringkat kedua perlumbaan itu sebelum sekali lagi terjatuh di peringkat ketiga Jelajah Renewi pada 22 Ogos, insiden yang menyaksikan tulang selangkanya patah dan perlu dibedah.
LTdL 2025 yang berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober ini dianggap medan terbaik buat Jakobsen sekiranya kembali cergas sepenuhnya, memandangkan laluan perlumbaan banyak menampilkan peringkat rata yang sering memihak kepada pelumba pecut.
Picnic PostNL menjadi satu daripada dua pasukan UCI WorldTeam yang beraksi bersama XDS Astana, sementara tempat Cofidis digantikan oleh Equipo Kern Pharma.
– Harian Metro
