KUALA LUMPUR: Equipo Kern Pharma yang dipilih menggantikan pasukan WorldTeam Cofidis, mahu membuktikan mereka bukan sekadar ‘bidan terjun’ walaupun menerima undangan kira-kira enam minggu sebelum bermula saingan Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL25), bermula 28 September hingga 5 Oktober ini.

Tampil dua kali berturut-turut sebelum ini, pasukan ProTeam dari Sepanyol itu bakal menurunkan tiga pelumba yang pernah berkayuh di Malaysia bagi mempertahankan kedudukan terbaik berpasukan keseluruhan tahun lalu, sambil Unai Iribar Jauregi dijangka mengetuai cabaran merebut jersi hijau individu keseluruhan tajaan PETRONAS.

Dua lagi muka lama pasukan itu adalah Jorge Gutierrez Gonzalez, 22, yang turut beraksi tahun lalu manakala seorang lagi pendaki, Ivan Cobo Cayion, 25, pernah bersaing pada LTdL23.

Dua pakar pecut yang dihantar kali ini adalah Marc Brustenga Masague, 25, dan Miguel Angel Fernandez Ruiz, 28, manakala pelumba berusia 21 tahun, Nil Gimeno Ferrer dijangka memikul peranan sebagai pelumba pembantu.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL25, Emir Abdul Jalal dalam satu kenyataan media berkata, Equipo Kern Pharma memberi maklum balas segera sebaik diundang bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Cofidis.

“Kami memang meletakkan mereka dalam senarai teratas dalam kalangan empat pasukan yang menunjukkan minat untuk berkayuh di LTdL25, dan sebaik diundang, mereka lantas memberi lampu hijau.

“Ini mencerminkan satu pengiktirafan dan hasrat tinggi pasukan itu untuk berlumba di Malaysia, lebih-lebih lagi selepas mereka menjuarai gelaran berpasukan manakala pelumbanya, Unai Iribar hanya tercicir 20 saat di belakang pemenang jersi hijau PETRONAS tahun lalu, Max Poole,” katanya.

Sekalipun agak kecewa gagal merebut tiket wildcard berkayuh di Vuelta a Espana tahun ini, Kern Pharma tetap sibuk dengan jadual perlumbaan di seluruh Eropah dan Asia sejak Januari lalu, dengan mengumpul tiga kemenangan pada tahun ini.

– Berita Harian