KUALA LUMPUR: Equipo Kern Pharma yang dipilih menggantikan pasukan WorldTeam, Cofidis, mahu membuktikan mereka bukan sekadar pasukan gantian walaupun menerima undangan kira-kira enam minggu sebelum bermula saingan Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL) yang bermula 28 September hingga 5 Oktober depan.

Pasukan dari Sepanypol itu bakal mempertaruhkan tiga pelumba yang pernah berkayuh di Malaysia untuk memastikan mereka dapat mempertahankan kedudukan terbaik berpasukan keseluruhan tahun lalu sambil Unai Iribar Jauregi dijangka mengetuai cabaran merebut jersi hijau klasifikas individu keseluruhan tajaan Petronas.

Dua lagi muka lama pasukan itu Jorge Gutierrez Gonzalez yang turut beraksi tahun lalu, manakala seorang lagi pendaki, Ivan Cobo Cayion pernah bersaing pada LTdL edisi 2023.

Dua pakar pecut yang dihantar kali ini adalah Marc Brustenga Masague dan Miguel Angel Fernandez Ruiz manakala pelumba berusia 21 tahun, Nil Gimeno Ferrer dijangka memikul peranan sebagai pelumba pembantu.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2025, Emir Abdul Jalal berkata, Equipo Kern Pharma memberi maklum balas segera sebaik diundang bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cofidis.

“Kami memang meletakkan mereka dalam senarai teratas dalam kalangan empat pasukan yang menunjukkan minat untuk berkayuh di LTdL 2025 dan sebaik diundang, mereka lantas memberi lampu hijau.

“Ini mencerminkan satu pengiktirafan dan hasrat tinggi pasukan itu untuk berlumba di Malaysia, lebih-lebih lagi selepas mereka menjuarai gelaran berpasukan manakala pelumbanya, Unai Iribar hanya tercicir 20 saat di belakang pemenang jersi hijau Petronas tahun lalu, Max Poole,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, meskipun Kern Pharma gagal merebut tiket wildcard berkayuh di Vuelta a Espana tahun ini tetapi mereka sudah mengumpul tiga kemenangan hasil perlumbaan di seluruh Eropah dan Asia sejak Januari lalu.

Brustenga, bekas pelumba pasukan WorldTeam Lidl-Trek, dijangka akan mengetuai cabaran Kern Pharma di laluan landai selepas menduduki tempat keempat di Tour of Hongrie dan dua kali di tempat kelima pada Presidential Tour of Turkiye, selain keenam di Tour of Britain.

Dalam senarai tiga pendaki tahun ini, Iribar tampak sedikit bergelut dengan prestasinya tetapi Cobo, yang menduduki tangga keempat keseluruhan di O Grand Camino, ke-11 keseluruhan di Tour of Qinghai Lake dan ketiga di Tour du Doubs tahun ini serta pelumba tangga kelapan keseluruhan tahun lalu, Gutierrez Gonzalez dijangka akan saling membantu terutama di laluan berbukit Peringkat 3 (Gerik-Pasir Puteh) dan Peringkat 5 (Temerloh-Bukit Fraser).

Menurut Emir, Kern Pharma seharusnya menjadi antara pasukan yang dihormati pada LTdL 2025 ini kerana setiap pelumbanya secara konsisten memberikan keputusan baik di setiap peringkat, sekaligus membolehkan pasukan itu berdiri di podium pada dua penampilan mereka pada 2023 dan 2024.

– Harian Metro