Muka baru dari China, Chengdu DYC Cycling Team dan ‘muka tetap’ dari Filipina, 7-Eleven Cliqq Roadbike, masing-masing datang dengan strategi baharu pada edisi ke-29 jelajah berbasikal PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) yang akan bermula pada 28 September hingga 5 Oktober depan.
Chengdu DYC yang kali pertama diundang dalam saingan PLTdL ini selepas lazimnya Hengxiang dan Li Ning Star, tampil dengan membariskan hanya seorang pelumba tempatan manakala lima lagi adalah pelumba import dari Russia, Belarus dan Venezuela.
Pasukan Benua 7-Eleven Cliqq Roadbike pula yang sebelum ini menghantar semua enam pelumba kelahiran Filipina, turut menyenaraikan tiga pelumba dari Australia dan Perancis untuk memikul cabaran pada edisi kali ini.
Senario ini jelas satu perubahan besar untuk cuba meletakkan pasukan masing-masing mampu menyaingi kelebihan yang ada pada pasukan lebih elit WorldTeam dan ProTeam yang turut mengambil bahagian.
Ketua Pegawai Operasi (COO) PLTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, pendekatan baru yang diambil pasukan berstatus Benua ini dilihat sebagai langkah untuk memberikan saingan lebih bermakna kepada pasukan handalan dari Eropah.
“Ramai sedar bahawa pasukan Benua yang rata-rata bersandarkan dengan pelumba tempatan agak kurang menyengat setiap kali bersaing dengan pelumba pasukan WorldTeam atau ProTeam dalam PLTdL sejak beberapa tahun lalu.
“Contohnya, pasukan JCL Team UKYO dari Jepun yang melakar keputusan terpuji tahun lalu adalah hasil sentuhan tiga pelumba Itali, Matteo Malucelli, Giovanni Carboni dan Thomas Pesenti, malah turut membantu Manabu Ishibashi bergelar Pelumba Terbaik Asia dan Pasukan Asia Terbaik, selain tangga keempat berpasukan keseluruhan dalam PLTdL24,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Chengdu DYC membariskan tiga pelumba Russia iaitu Petr Rikunov, Timofei Ivanov dan Andrei Stepanov, pelumba Belarus Yeuhan Sobal dan pelumba Venezuela, Roniel Campos, manakala satu-satunya pelumba kelahiran China adalah pelumba muda Li Chaoyi.
Daripada enam barisan pelumba itu, pakar pecut Rikunov, 28, yang pernah mewakili pasukan Gasprom Rusvelo, memiliki rekod agak cemerlang termasuk satu kemenangan Peringkat 7 Tour of Qinghai Lake tahun ini, selain sekali di tempat kedua peringkat Trans-Himalaya dan Tour of Hainan.
Ivanov, 34, bekas pelumba Hengxiang dan pakar mendaki menduduki tangga ke-15 klasifikasi Raja Bukit Qinghai Lake dan akan dibantu Stepanov yang memiliki banyak pengalaman berlumba di Asia dengan keputusan terbaik di tangga ketiga keseluruhan Tour Along Yellow River 2025.
Mengetuai cabaran memburu jersi hijau keseluruhan tajaan PETRONAS adalah bekas pelumba Li Ning Star berusia 32 tahun dari Venezuela, Campos yang menjuarai gelaran individu keseluruhan Vuelta Tachira pada 2020 hingga 2022 dan keempat pada perlumbaan yang sama tahun ini.
Memperkuatkan lagi cabaran Chengdu DYC ialah pelumba paling berusia, Sobal, 44, yang pernah memenangi gelaran juara kebangsaan Belarus sebanyak lima kali.
Pendekatan yang sama turut diambil 7-Eleven Cliqq yang sebelum ini menurunkan semua pelumba kelahiran Filipina, dengan tetapi kali ini menyelitkan dua pelumba Australia, Luke Burns dan Zachary Marriage serta pelumba Perancis, Edouard Bonnefoix.
Marriage, 21, dilihat menjadi pertaruhan memburu kemenangan peringkat di mana pelumba yang pernah bersama Israel Premier Tech dan Bridgelane itu mencatat keputusan konsisten sepanjang tahun ini – kedua di GP de Cotonou, tangga kedua Pelumba Muda Volta a Portugal dan tempat kedua peringkat di Santos Tour Down Under.
Marriage akan dibantu seorang lagi pakar pecut, Bonnefoix, 26, yang baru menyertai pasukan itu dan pernah di tempat keenam peringkat Tour of Britain, tahun ini.
Burns, 27, adalah bekas pelumba Bridgelane dan dijangka mengetuai cabaran pasukan itu bagi klasifikasi individu keseluruhan berdasarkan prestasi terbaiknya menang gelaran Raja Bukit Tour Down Under 2024, selain kelima keseluruhan Tour Along Yellow River tahun ini.
Tiga pelumba kelahiran Filipina dalam skuad 7-Eleven Cliqq kali ini ialah Rench Michael Bondoc, 24; Joshua Pascual, 23; dan John Patrick Pagtalunan, 21.
Bondoc pernah beraksi dalam PLTdL23 dan bersama-sama Pagtalunan, dijangka membantu Marriage dan Bonnefoix di laluan landai manakala Pascual membantu Burns di laluan pendakian.
“Sama ada pendekatan menyenaraikan pelumba luar Asia ini akan memberi keputusan yang dihajati Chengdu DYC dan 7-Eleven Cliqq, segala-galanya akan dapat kita saksikan apabila saingan sebenar bermula nanti,” kata Emir.
PLTdL25 yang berstatus 2.ProSeries dalam kalendar perlumbaan Jelajah Asia UCI akan melewati semua 12 negeri di Semenanjung, bermula di Pulau Langkawi pada 28 September dan beraksi di depan KLCC pada 5 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan 1,243.5km.
Jelajah terunggul Asia ini dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan mendapat kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal (PKBM).
– Stadium Astro