KEPALA BATAS: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Wan Abdul Rahman Hamdan membuktikan ketahanan mental dan fizikal apabila menamatkan peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 di kedudukan keenam walaupun berdepan insiden rantai basikal tercabut pada baki kilometer terakhir.
Dalam saingan sejauh 163 kilometer dari Padang Besar ke Kepala Batas, Pulau Pinang itu, pelumba berusia 26 tahun yang mesra disapa ‘Achik’ turut dinobat sebagai pelumba terbaik Malaysia dan ASEAN.
“Saya sempat betulkan rantai dan kejar semula. Dari situ memang banyak tenaga digunakan. Bila jumpa semula di 500 meter terakhir, saya cuba ikut rentak mereka tetapi sudah berikan kayuhan maksimum,” katanya.
Wan Rahman menjelaskan dia semakin bersemangat selepas melihat pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Izzat Hilmi Abdul Halil berada di hadapan, sekali gus membakar motivasinya untuk memburu jersi Asia (putih).
“Walaupun tak dapat (jersi putih), saya puas hati sebab tetap dapat tempat keenam,” katanya yang membuat penampilan sulung pada LTdL musim ini.
Peringkat pertama kelmarin menyaksikan Achik menamatkan saingan di kedudukan ke-12 dan kali ini memperbaiki prestasi dengan catatan lebih baik.
“Semalam saya nombor 12, hari ini keenam, jadi ada peningkatan. Esok saya akan cuba cari kedudukan selamat di Bukit Gerik. Kalau terlepas pun, saya akan cuba sertai kumpulan besar untuk ke penamat,” ujarnya.
Peringkat ketiga esok membabitkan laluan sejauh 198.2km dari Gerik ke Pasir Puteh yang dijangka lebih mencabar.
– Berita Harian

