KEPALA BATAS: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Wan Abdul Rahman Hamdan menutup saingan Peringkat Kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 di kedudukan keenam, biarpun terpaksa berdepan insiden rantai basikal tertanggal di kilometer terakhir perlumbaan dari Padang Besar ke Kepala Batas, hari ini.
Menurut pelumba berusia 26 tahun itu, dia sudah cuba mengekori kelompok hadapan di baki dua kilometer terakhir, namun insiden berkenaan termasuk dihimpit pelumba lain tidak mematahkan semangatnya muncul pelumba terbaik Malaysia dan Asean.
“Saya sempat betulkan rantai dan kejar semula. Dari situ memang banyak tenaga digunakan.
“Bila jumpa semula di 500 meter terakhir, saya cuba ikut rentak mereka, tapi memang sudah berikan kayuhan maksimum,” kata pelumba yang terkenal dengan nama timangan ‘Achik’.
Ujarnya, selepas melihat pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC) dan rakan senegara, Izzat Hilmi Abdul Halil berada di bahagian kanan dia tekad untuk mencuba sehabis baik bagi memburu jersi Asia (putih).
“Walaupun tak dapat (jersi putih), saya puas hati sebab tetap dapat tempat keenam,” katanya selepas tamat perlumbaan hari ini.
Kejayaan Wan Abdul Rahman menduduki tempat keenam mengekalkan status TSG selaku wakil Malaysia paling cemerlang, selepas Harrif Saleh meraih kedudukan kesembilan pada peringkat pertama di Pulau Langkawi, semalam.
Mengulas keadaan perlumbaan, Wan Abdul Rahman mengakui hujan pada awal saingan memberi sedikit kelegaan, namun keadaan panas ketika menuju garisan penamat menambah cabaran.
“Kalau hujan saya okay, rasa sejuk sikit. Tapi bila hujung-hujung jadi panas, tenaga pun makin susut,” ujarnya.
Selepas dua peringkat landai, dia menjangkakan cabaran sebenar bermula esok dengan laluan mendaki dari Gerik menuju ke Pasir Puteh.
“Semalam saya nombor 12, hari ini nombor enam, jadi ada peningkatan sedikit demi sedikit.
“Esok saya cuba mencari kedudukan selamat di Bukit Gerik. Kalau terlepas, saya akan cari kumpulan besar untuk sampai ke penamat,” katanya.
Dia optimis rakan sepasukan mampu mengharungi pendakian khususnya Vadim Pronskiy, Mathias Bregnhoj dan Adne Van Engelen yang dijangka menjadi sandaran TSG di peringkat mendaki.
“Saya cuba simpan tenaga, tapi bukanlah sampai terlampau lambat sebab takut nanti kena ‘time limit’.
“Jadi tetap kena push juga walaupun tak 100 peratus,” katanya yang menjadikan legenda negara, Anuar Manan sebagai idola selain mengagumi kemampuan pelumba pecut antarabangsa, Jasper Philipsen.
– Harian Metro