PORT DICKSON: PelumbaTudor Cycling Team, Arvid de Kleijn meraih kemenangan peringkat keduanya pada jelajah berbasikal PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) dengan menguasai pecutan terakhir Peringkat 6 dari Shah Alam ke Port Dickson, hari ini.

Selepas memenangi Peringkat 2 di Kepala Batas, ketiadaan pemenang tiga peringkat yang juga penyarung jersi oren Raja Pecut, Matteo Malucelli dari XDS-Astana yang mengalami kecederaan akibat kemalangan di awal perlumbaan, seolah-olah memudahkan tugas de Kleijn pada jarak pendek sejauh 123.5km itu yang berlangsung di bawah cuaca hujan dan permukaan jalan raya yang agak licin.

Ia juga kemenangan peringkat kali keenam buat pelumba 31 tahun kelahiran Herveld, Switzerland itu sejak penampilan kali pertama pada PLTdL23, sekaligus menyuntik keyakinannya untuk menambah koleksi kemenangan peringkat pada baki saingan dua hari lagi.

De Kleijn mengecewakan pakar pecut Uno-X Mobility, Erland Blikra yang menyarung jersi oren Raja Pecut tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas ketiadaan Malucelli, dan berpeluang menjuarai jersi itu buat kali kedua selepas 2023, kerana dia kini hanya ketinggalan 3 mata di belakang Blikra.

“Kami mengawal perlumbaan di dalam hujan lebat dan menang peringkat ini. Selepas berpanas setiap hari,ada juga baiknya berlumba dalam cuaca hujan. Saya akan cuba mencari kemenangan lagi kerana perbezaan dua mata bukanlah angka minimum.

“Dalam henjutan terakhir, ia agak laju dan saya mengambil posisi di bahagian kanan. Walaupun agak jauh kerana tidak mahu mengambil sebarang risiko, saya mempunyai kepantasan untuk menang,” kata De Kleijn yang mengakui dimaklumkan pengurusnya menerusi radio pasukan terhadap kemalangan menimpa Malucelli pada jarak kira-kira 20km, sambil berharap lawannya itu segera sembuh dan kembali berlumba.

Jersi hijau pendahulu tajaan PETRONAS juga tidak berubah apabila penyarungnya dari pasukan TotalEnergies, Joris Delbove yang menamatkan kayuhan di tempat ke-58, sekadar memastikan kayuhan selamat sambil memerhati pencabar terdekat, Anders Halland Johannessen (Uno-X), Adrien Maire (Unibet Tietema Rockets) dan Yannis Voisard (Tudor) bersama-sama menamatkan kayuhan dalam kelompok besar 101 pelumba.

Perlumbaan yang dilepaskan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua PETRONAS Wilayah Tengah dan Utara, Abu Hanzalah Abu Bakar di bawah cuaca hujan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam itu, menyaksikan pelumba melengkapkan kayuhan di depan Port Dickson Royal Yacht Club dengan masa 2 jam 32 minit 55 saat, atau purata kelajuan 48.46kmj.

“Malam tadi saya tidur nyenyak tetapi perlumbaan tetap kompetitif. Saya gembira menyarung jersi hijau buat kali pertama di sini.Tetapi di sepanjang perlumbaan, ada banyak cubaan breakaway di depan untuk mencuri masa bonus, namun rakan sepasukan bijak mengawal tempo kayuhan hari ini. Saya berharap ia berterusan pada baki dua peringkat yang lebih mencabar selepas ini,” kata Delbove yang kini mengumpul keseluruhan 18 jam 49 minit 29 saat, 6s di depan Johannessen.

Jersi puteh Pelumba Terbaik Asia juga masih selamat disarung pelumba Astana, Nicolya Vinokourov yang turut memperbaiki tempat dalam kedudukan individu keseluruhan ke tangga ke-5, selepas mengutip masa bonus 3 saat di zon pecutan kedua di Banting.

Tanpa sebarang zon pendakian, jersi polka dot Raja Bukit tajaan BubblesO2 juga tidak berubah dengan pelumba Team Picnic PostNL, Patrick Eddy terus menyarung sehingga peringkat terakhir nanti kerana Peringkat 7 esok, juga tiada sebarang pendakian.

Kegembiraan turut disambut peminat tempatan yang bersorak ceria apabila pelumba Malaysia Pro Cycling, Mohammad Izzat Hilmi Abdul Halil menduduki tempat keempat dan muncul pelumba terbaik Asia di peringkat itu, sambil pelumba skuad kebangsaan Malaysia, Kee Zhe Yie menerima Anugerah Pelumba Kombatif hasil usahanya meloloskan diri dan hanya ditangkap kira-kira 9km dari garisan penamat.

Hilmi jelas kurang bernasib baik dalam henjutan terakhir itu kerana terpaksa membrek dan hilang sedikit momentum sekaligus terlepas peluang berdiri di podium.

Seramai 109 pelumba akan bermula di garis mula esok selepas tiga pelumba – Malucelli, Odd Christian Eiking (Unibet) dan Vadim Pronskiy (TSG) gagal menamatkan kayuhan (DNF) manakala pelumba KSPO, Shin Dongil tidak berada di garis mula (DNS).

KSPO kini hanya tinggal 2 pelumba, manakala Team Picnic PostNL dan Chengdu DYC mempunyai 3 pelumba. Solution Tech Vini Fantini dan St George Continental pula masing-masing berbaki 4 pelumba untuk meneruskan perlumbaan.

Peringkat 7 PLTdL25 akan bersambung pagi esok, bermula di Jalan Hang Tuah, Melaka dan akan berakhir di Medini, Iskandar Puteri di Johor, membabitkan jarak kayuhan terpanjang iaitu 214.9km, serta tiga zon pecutan di Sungai Rambai (km26); Semerah (km74.3) dan Pontian (km166.8).

Edisi ke-29 PLTdL25 yang berstatus 2.Proseries dalam kalendar Asia UCI bermula di Pulau Langkawi dan berakhir dengan Peringkat 8 dari Tangkak ke KLCC, Kuala Lumpur, Ahad ini dengan jarak keseluruhan 1,224.2km.

Ia dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan mendapat kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).