KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) memberi jaminan bahawa aspek keselamatan akan menjadi keutamaan sepanjang penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang dijadual berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober ini.

Jaminan itu hadir di berikutan timbul kebimbangan susulan kemalangan maut membabitkan seorang pelumba dalam acara Langkawi Legendary Ride pada 14 September lalu.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, berkata pihak penganjur bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan kelancaran operasi jelajah berprestij itu.

“Kita sudah mengadakan beberapa mesyuarat bersama Ketua-Ketua Jabatan termasuk jawatankuasa penganjur. Wakil daripada polis turut hadir untuk memberikan pandangan mereka. Dengan pengalaman yang kami peroleh sepanjang tiga tahun ini, saya yakin isu keselamatan tidak akan timbul.

“Pihak polis juga sudah menambah kekuatan anggota mereka bagi memastikan perlumbaan dikawal dengan baik,” kata Jefri pada majlis pengumuman BubblesO2 sebagai penaja jersi Raja Bukit, hari ini.

Jefri menegaskan, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan dikuatkuasakan, merangkumi peraturan daripada PDRM dan juga Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“UCI mempunyai SOP mereka sendiri yang perlu kita patuhi. Kami sentiasa akur kepada peraturan daripada kedua-dua pihak, UCI dan PDRM,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abdul Jalal, memaklumkan bahawa kos penganjuran edisi kali ini mencecah RM19.5 juta, dengan RM7.5 juta daripadanya dibiayai melalui tajaan, termasuk RM1 juta daripada pihak BubblesO2 dalam bentuk tunai dan barangan.

Emir berkata, memandangkan acara ini dikendalikan oleh MSN, setiap ringgit daripada geran kerajaan dan penaja disalurkan terus untuk operasi, keselamatan, infrastruktur dan logistik, bukannya keuntungan.

Mengulas mengenai persiapan, Emir menjelaskan pengalaman menganjurkan LTdL sejak tahun 2023 memberikan keyakinan kepada pasukannya untuk mengendali edisi kali ini dengan lebih teratur.

“Persiapan tahun ini juga dipermudahkan kerana peloton hanya perlu menyeberangi laut sekali sahaja ke Langkawi, berbanding beberapa kali pada edisi 2024 yang membabitkan laluan di Sarawak.

“Tidak banyak masalah akan timbul kali ini dan kami percaya acara ini akan berjalan dengan lancar,” kata Emir.

– Berita Harian