KUALA LUMPUR – Pasukan WorldTeam dari Kazakhstan, XDS Astana Team bakal hadir dengan dua pakar pecut handalannya pada PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25), sekaligus melaungkan amaran awal untuk menguasai peringkat landai pada saingan yang bermula 28 September hingga 5 Oktober depan.
Dalam senarai awal enam pelumba yang dihantar kepada penganjur, Astana turut menyenaraikan pemenang jersi merah Raja Pecut dan tiga peringkat dalam PLTdL24 lalu, Matteo Malucelli serta pakar pecut dengan koleksi 4 kemenangan peringkat dalam PLTdL, Gleb Syritsa.
Secara tidak langsung, strategi meletakkan pakar pecut berganda itu mencerminkan strategi Astana untuk menguasai enam peringkat yang dianggap landai dan memberi kelebihan kepada pakar pecut dalam laluan PLTdL25 kali ini.
Ketua Pegawai Operasi Sekretariat PLTdl25, Emir Abdul Jalal berkata, pihaknya tidak terkejut dengan strategi pasukan itu, lebih-lebih lagi dengan adanya enam peringkat yang dianggap landai dan memberi kelebihan kepada pasukan yang mengandungi pakar pecut.
“Berdasarkan laluan tahun ini, ada enam peringkat yang kami jangka bakal berakhir dengan pecutan beramai-ramai di garisan penamat, dan pasukan yang memiliki beberapa pakar pecut pasti mahu mengumpul kemenangan peringkat dan dengan kehadiran Malucelli dan Syritsa, Astana tampak ada sedikit kelebihan.
“Ia juga mungkin sebahagian daripada strategi pasukan itu untuk mengimbangi kehadiran pakar pecut pasukan lain seperti pelumba dari Tudor Cycling, Alberto Dainese dan Fabio Jakobsen (Team Picnic PostNL) yang masing-masing memiliki reputasi hebat dengan kemenangan di Giro d’Italia dan Vuelta a Espana,” kata Emir dalam satu kenyataan media, hari ini.
Empat pelumba lain dalam senarai awal Astana adalah Aaron Gate, Anton Kuzmin, Nicolas Vinokurov dan Lev Gonov.
Gate, pelumba berusia 35 tahun dari New Zealand, adalah pemenang empat pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan diramal menjadi taruhan dalam misi memburu jersi hijau individu keseluruhan pada saingan PLTdL25 ini.
Kuzmin, 29, dan Gonov, 25, yang juga rakan sepelatih Syritsa dalam acara trek kejar-mengejar dijangka memikul peranan utama untuk membentuk ‘kereta api’ Astana di bahagian depan peloton pada beberapa kilometer terakhir, sebelum membuka ruang untuk Malucelli atau Syritsa dalam pecutan terakhir.
Nicolas, 23, yang juga anak kepada legenda Alexander Vinokuorov, dijangka menjadi pembantu dalam setiap strategi harian Astana, dan berkemungkinan diarah untuk mengikuti setiap cubaan pemecahan (breakaway) oleh sekelompok kecil pelumba.
“Berdasarkan senarai awal ini, itu yang boleh kita ramalkan tetapi mungkin strategi Astana nanti akan berubah mengikut keadaan dan keutamaan pasukan itu kerana ia bergantung kepada beberapa faktor dan situasi perlumbaan.
“Namun dengan status sebagai WorldTeam, kita boleh katakan barisan pelumba Astana yang hadir kali ini adalah sebuah pasukan yang handal dan agak menonjol,” kata Emir lagi.
Edisi ke-29 PLTdL25 yang merentasi semua 12 negeri di Semenanjung dengan jarak keseluruhan 1,257.8km sepanjang lapan peringkat, menarik penyertaan tiga pasukan berstatus WorldTeam, 8 ProTeam, 10 pasukan Benua (Continental) dan satu pasukan kebangsaan iaitu Malaysia.
LTdl25 yang berstatus ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia UCI dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Ia akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September (peringkat pertama) sejauh 96.5 kilometer (km) diikuti peringkat kedua dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang (170.1km); peringkat ketiga dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan (198.2km); peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman (140.8km); peringkat kelima dari Temerloh ke Bukit Fraser, Pahang (133.7km); peringkat keenam dari Shah Alam, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan (123.4km); peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini, Johor (214.6km); peringkat kelapan dari Tangkak, Johor ke Kuala Lumpur (180.5km) pada 5 Oktober.
SENARAI AWAL PELUMBA XDS ASTANA TEAM
- Gleb Syritsa (RUS)
- Aaron Gate (NZL)
- Anton Kuzmin (KAZ)
- Matteo Malucelli (ITA)
- Nicolas Vinokurov (KAZ)
- Lev Gonov (KAZ)