KUALA LUMPUR: Tiga bekas pelumba pasukan berstatus WorldTeam akan memperkuatkan cabaran pasukan ProTeam dari Itali, Solution Tech-Vini Fantini sepanjang lapan hari saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang akan bermula pada 28 September hingga 5 Oktober depan.
Mengetuai cabaran Solution Tech ialah tiga pelumba berpengalaman yang pernah berkayuh bersama pasukan WorldTeam iaitu Alexandre Balmer yang pernah membarisi Jayco-AIUla; Matteo Fabbro (Bora-Hansgrohe) dan pakar pecut Dusan Rajovic (Bahrain-Victorious).
Mereka pernah bergelar Team Corratec dan turut beraksi pada LTdL 2022 lalu dan juga bukanlah nama asing dalam perlumbaan di benua Asia selepas mengumpul banyak kejayaan sekali gus menggambarkan isu cuaca panas ekstrem pasti tidak menjadi masalah besar buat pasukan itu.
Ketua Pegawai Operasi LTdL 2025, Emir Abdul Jalal berkata, gandingan tiga pelumba berpengalaman itu dan dua pelumba asal Corratec yang beraksi di LTdL 2022 memberikan keseimbangan buat mereka untuk mencabar sama ada kemenangan peringkat atau jersi hijau individu keseluruhan tajaan Petronas.
“Kita sering melihat pasukan berstatus ProTeam dan Continental Team memberi saingan sengit kepada pasukan elit WorldTeam di LTdL ini dan berdasarkan kekuatan individu, Solution Tech dilihat antara pasukan yang mampu memberi cabaran pada tahun ini.
“Malah, majoriti daripada pelumba yang dihantar adalah mereka yang sering berlumba di benua Asia, malah meraih banyak kejayaan sejak beberapa tahun lalu,” kata Emir dalam satu kenyataan hari ini.
Pelumba yang pasti menarik perhatian adalah pakar pecut kelahiran Serbia berusia 27 tahun, Rajovic yang mengumpul 18 kemenangan profesional termasuk bergelar Raja Pecut di Tour of Sharjah, Istrian Spring Tour, Tour de Kumano dan Trans-Himalaya Cycling Race pada tahun ini.
Malah Rajovic yang muncul juara kebangsaan Serbia dalam acara ujian masa individu (ITT) turut mengukir 11 kemenangan peringkat sepanjang tahun ini.
Tiga pelumba yang akan mencabar kedudukan individu keseluruhan adalah Balmer, Fabbro dan Allesandro Iacchi yang pernah beraksi bersama Corratec pada edisi lalu.
“Fabbro pernah lima kali berkayuh di Grand Tour manakala Lacchi juga pernah sekali berkayuh di Giro d’Italia. Balmer pula yang dianggap pakar perlumbaan sehari dijangka akan memilih Peringkat 3 dan Peringkat 8 untuk mempamerkan kemahirannya,” kata Emir lagi.
– Harian Metro