PADANG BESAR: Dua peringkat perlumbaan sejauh 259.7 kilometer (km) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 sudah pun berakhir dengan saingan kini tertumpu kepada Peringkat 3 yang lebih mencabar dari Gerik ke Pasir Puteh, esok.
Peringkat 3 sejauh 198.2km ini bakal bermula dengan tiga zon pendakian iaitu di Gerik, Sri Banding dan Puncak Titiwangsa di awal 60km pertama selain tiga zon pecutan di Jeli, Bukit Bunga dan Machang, menuju ke garisan penamat di Pasir Puteh.
Saingan ini dilihat mencabar dan pastinya dinanti pelumba yang menggalas cabaran selaku pendaki terutama selepas dua peringkat perlumbaan sebelum ini lebih banyak berlangsung di laluan landai.
Bagi pelumba pasukan kebangsaan, Mohd Shahrul Mat Amin, Peringkat 3 kali ini bagaikan ulangan edisi 2018 yang menyaksikan dirinya berjaya menemui garisan penamat di tempat ke-12 keseluruhan.
“Ini kerana seperti sebelum ini (2018), saya pun pernah (berada di kelompok penamat awal) seperti pada edisi 2018. Pada ketika itu, saya dapat nombor 12. InsyaAllah, saya akan cuba,” katanya.
Selain Shahrul yang juga kapten pasukan, turut menggalas tugas selaku pendaki bagi skuad kendalian Mohd Yusof Abdul Nasir adalah Muhammad Iqmal Mohd Zarawi dengan dibantu Kee Zhe Yie, Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Muhammad Elmi Jumari dan Muhammad Yusri Shaari.
– Berita Harian

