LANGKAWI: Malam pembukaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 benar-benar mencuri tumpuan apabila 380 dron menghiasi ruang udara Dataran Lang, Kuah, sekali gus menghangatkan suasana pelancaran rasmi edisi ke-29 itu.

Persembahan cahaya berteknologi tinggi itu bukan saja memukau pengunjung, malah menjadi simbolik kepada kemajuan penganjuran sukan berbasikal terbesar negara yang terus gah di pentas antarabangsa.

Majlis penuh warna-warni itu turut menyaksikan pengenalan 22 pasukan membabitkan 130 pelumba termasuk dua pasukan elit WorldTeam, sembilan ProTeam, 10 pasukan Benua serta skuad kebangsaan Malaysia yang bakal menggalas cabaran.

Turut hadir, Exco Belia dan Sukan Kedah Radhi Mat Din, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Abdullah Hasan serta Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin.

LTdL 2025 yang berstatus 2.ProSeries dijadual berlangsung dari Ahad ini hingga 5 Oktober ini, merangkumi lapan peringkat dengan jarak keseluruhan 1,244.2 kilometer.

AllSaingan bermula di Pulau Langkawi sebelum mengharungi laluan mencabar di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, sebelum menutup tirai penuh bergaya di ibu negara, Kuala Lumpur.

– Harian Metro