KEPALA BATAS: Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn meraih kemenangan pertamanya bagi musim ini selepas menawan Peringkat 2 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, hari ini.

Laluan Peringkat 2 dari Padang Besar ke Kepala Batas sejauh 163 kilometer (km) berakhir secara penamat beramai-ramai dengan catatan tiga jam 29 minit 59 saat (s), menyaksikan De Kleijn menewaskan pemenang Peringkat 1 semalam, Matteo Malucelli dari pasukan XDS Astana Team manakala Enrico Zanoncello (VF Group BardaniCSF-Faizane) ketiga.

Kemenangan De Kleijn yang dikenali sebagai ‘Little Gorilla’ itu juga hadir tepat pada masanya selepas berehat panjang daripada kecederaan tulang selangka.

“Tercedera dan kemudian mengambil masa yang lama untuk kembali. Saya berasa baik sejak beberapa minggu lalu walaupun tidak mendapat keputusan (diinginkan).

“Kemudian kamu ke sini dan anda ingin menang… saya tahu ia boleh dilakukan. Dengan rakan-rakan sepasukan, mereka melakukan tugas yang hebat dan kemudian meletakkan saya di laluan yang tepat untuk menang,” kata De Kleijn kepada media selepas tamat perlumbaan Peringkat 2.

Mengulas mengenai perlumbaan, naib juara keseluruhan edisi lalu itu mengakui saingan sukar namun sudah bersedia untuk ‘terus mencabar’ baki enam perlumbaan peringkat seterusnya.

“Ya, saya sangat berpuas hati dan saya menantikan peringkat seterusnya,” katanya yang kini sudah mengumpul lima kemenangan peringkat di LTdL sejak 2023.

Dalam perkembangan lain, Malucelli masih kekal menyarung jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan, berkelebihan 0.02 saat (s) daripada De Kjeijn di tempat kedua manakala pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Rosli jatuh di tempat ketiga.

Malucelli juga kekal menyarung jersi jingga selaku Raja Pecut dengan 27 mata manakala De Kleijn di tempat kedua (24 mata) manakala Erlend Blikra dari pasukan Uno X Mobility di tempat ketiga (15 mata).

Pelumba St George Continental Cycling Team, Ben Carman pula mengekalkan jersi polka dot selepas tiada zon pendakian ditawarkan semalam.

Jersi putih selaku terbaik Asia masih kekal milik Aiman manakala rakan sepasukannya Wan Abdul Rahman Hamdan muncul pelumba terbaik negara peringkat kedua apabila menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

– Berita Harian