KEPALA BATAS: Pelumba Tudor Cycling Team, Arvid de Kleijn memenangi Peringkat 2 dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang pada jelajah PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) dalam aksi pecutan beramai-ramai ke garisan penamat, hari ini.
Selepas sekadar di tempat ketiga dalam kayuhan Peringkat 1 di Langkawi semalam, dia bijak memilih ruang tengah untuk memintas pemenang Peringkat 1 dari XDS-Astana, Matteo Malucelli manakala pelumba VF Group Bardiani CSF-Faizane, Enrico Zanoncello di tempat ketiga.
Bagaimanapun, Malucelli masih mengekalkan jersi hijau pendahulu klasifikasi keseluruhan (GC) tajaan PETRONAS dengan catatan keseluruhan 5 jam 30 minit 50 saat, 2 saat di hadapan de Kleijn manakala kedudukan jersi oren Raja Pecut tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pula hanya berbeza 3 mata.
Pelumba terbaik tempatan bagi Peringkat 2 adalah Wan Abdul Rahman Hamdan dari Terengganu Cycling Team (TSG) yang berada di tangga keenam, memperbaiki posisi di tempat ke-12 pada hari pertama manakala rakan sepasukan, Muhammad Nur Aiman Rosli mengekalkan jersi putih Pelumba Terbaik Asia, tajaan Rakan Muda.
Tanpa sebarang zon pendakian, pelumba St George Continental Cycling Team, Ben Carman masih mengekalkan jersi polka dot Raja Bukit tajaan BubblesO2, manakala pelumba Unibet Tietema Rocket, Cedric Bakke Christophersen yang cuba meloloskan diri secara solo menjelang ke garisan penamat, dianugerah Pelumba Paling Kombatif.
Namun, perseteruan sihat antara dua Raja Pecut 2024 (Malucelli) dan 2023 (De Kleijn) itu menjanjikan persaingan lebih sengit pada baki laluan landai selepas ini dengan masing-masing bertekad untuk terus menambah koleksi kemenangan peringkat mereka dalam PLTdL.
“Satu perasaan yang hebat. Rakan-rakan sepasukan terutama Changizi (Sebastian) melakukan kerja yang baik untuk memastikan kami berada di bahagian tengah kelompok depan dan saya gembira segala-galanya memihak kami.
“PLTdL sememangnya satu perlumbaan yang istimewa di hati saya tetapi secara peribadi, saya berharap cuaca lebih baik pada peringkat-peringkat seterusnya,” kata De Kleijn yang turut memungut kemenangan peringkat kelima peribadi, selepas Peringkat 1 dan 6 pada 2023 serta Peringkat 4 dan 5 pada tahun lalu.
Mengenai perseteruannya dengan Malucelli yang dijangka lebih sengit selepas ini, dia berkata secara peribadi mereka tiada masalah, profesional dan saling mencabar secara berseloroh untuk menambah koleksi kemenangan mereka.
Kemenangan di Kepala Batas ini juga adalah kemenangan peringkat kali kelima buat pelumba dengan jolokan Little Gorilla itu, selepas Peringkat 1 dan 6 pada 2023 serta Peringkat 4 dan 5 tahun lalu.
Menurut pelumba Switzerland itu, walaupun perlumbaan dilepaskan di dalam cuaca hujan lebat dan permukaan jalan raya yang licin sehingga jarak neutral ditambah hampir 3km, pasukannya tetap tenang dan santai, biarpun ada cubaan segelintir pelumba yang cuba membuat pemecahan.
Hanya pada beberapa kilometer terakhir, katanya, Tudor mula bekerja keras di bahagian depan peloton sebelum memasuki pekan Kepala Batas di bawah cuaca panas terik, sebelum perlumbaan berakhir dengan pecutan beramai-ramai.
“Sebenarnya ia perlumbaan yang sukar dan saya berharap cuaca akan berubah lebih baik selepas ini,” kata De Kleijn.
Sementara itu, Malucelli jelas sedikit kecewa dengan taktikal yang kurang berkesan menjelang aksi pecutan terakhir itu.
“Rakan-rakan (Astana) bekerja keras untuk menarik ke depan dan mencari ruang yang selesa tetapi mungkin saya melakukan sedikit kesilapan kerana memecut terlalu awal hingga kehabisan tenaga di saat-saat akhir,” kata Malucelli yang menang 3 peringkat tahun lalu ketika bersama pasukan Benua dari Jepun, JCL UKYO.
Mengenai jersi pendahulu dan Raja Pecut yang disarungnya pada dua peringkat berturut-turut, pelumba Itali itu berkata akan berusaha mempertahankannya walaupun sedar Peringkat 3 Gerik-Pasir Puteh membabitkan pendakian yang agak sukar.
“Saya tahu laluan ini kerana pernah menempuhinya pada 2018 (bersama Androni Giocattoli-Sidermec). Kita lihat bagaimana situasi esok. Tetapi kami akan cuba mengawal perlumbaan walaupun sedar ia sukar disebabkan hanya ada enam pelumba saja,” kata Malucelli yang mengumpul empat kemenangan peringkat dalam PLTdL setakat ini.
Peringkat 3 Gerik ke Pasir Puteh esok membabitkan jarak 198.2km, yang menghidangkan tiga zon pendakian di Gerik (Kategori 3); Sri Banding (Kategori 2) dan Puncak Titiwangsa (Kategori 1) sebelum pelumba menempuh laluan landai dengan 3 zon pecutan di Jeli (km117.3); Bukit Bunga (km134.1) dan Machang (km179.1) sebelum ke penamat di hadapan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh.
Edisi ke-29 PLTdL25 yang diberi status 2.ProSeries dalam kalendar perlumbaan Asia UCI membabitkan 8 peringkat dengan jarak keseluruhan 1,244.2km dan berakhir di hadapan Menara Berkembar PETRONAS, Ahad ini.
PLTdL25 dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).